Kisah 25 Nabi

Home



1) Nabi Adam tidak dilahirkan sebagai bayi seperti orang lain tetapi telah dibentuk dari tanah sebagai orang dewasa.
2) Ketinggian nabi Adam ialah sekitar 60 kaki.
3) Ketika Adam dan Hawa diturunkan ke bumi, mereka terpisah jauh. Masing-masinh mencari pasangan dan akhirnya bertemu di Jabal Rahmah dan dari situ jugalah Jabal Rahmah digelar sebagai bukit kasih sayang atau ‘the mountain of acquaintance’ di dalam bahasa inggeris.
4) Adam dan Hawa tidak pernah kenal erti penipuan. Pertama kali mereka ditipu oleh syaitan adalah ketika di syurga. Syaitan menghasut jika mereka memakan buah dari pokok terlarang di syurga maka mereka akan berubah menjadi malaikat. Oleh itu mereka pun percaya.
5) Kisah ni diceritakan oleh nabi Adam kepada anak-anaknya berulang kali sebagai pengajaran bahawa syaitan itu jahat.
6) Adam dan Hawa hidup beribu tahun lamanya. Hawa mengandung lebih dari 100 kali dan setiap kali mengandung akan lahirnya anak kembar lelaki dan perempuan.
7) Anak-anak nabi Adam sahaja yang Allah benarkan untuk berkahwin sesama adik beradik namun haram berkahwin dengan kembar sendiri.
8) Anak pertama nabi Adam, Qabil cemburu dengan adiknya Habil kerana nabi Adam mahu mengahwinkan dia dengan kembarnya Qabil. Selepas dihasut syaitan, Qabil membunuh adiknya Habil. Itulah pembunuhan dan kematian pertama di dunia.


1) Nabi Idris seorang yang tinggi, rupawan dan mempunyai jambang. Sifatnya sangat tenang, banyak berfikir dan bercakap apabila perlu sahaja. Apabila bercakap, percakapannya sangat jelas dan juga selalu merendahkan pandangannya.
2) Nabi Idris adalah manusia pertama yang menulis dengan alat tulis. Sebelum nabi Idris, penulisan tidak pernah wujud.
3) Tugas nabi Idris bukanlah untuk menyebarkan agama atau menghentikan syirik kerana pada masa itu manusia di bumi masih percaya kepada Allah.
4) Tugas nabi Idris adalah melawan ‘corruption’ atau kehancuran seperti mencuri, zina, penindasan dan sebagainya yang makin berleluasa terutamanya di kalangan keturunan Qabil.
5) Apabila nabi Idris melihat korupsi kehancuran akhlak semakin berleluasa sehingga kaumnya sendiri sudah mula hancur, nabi Idris mengumpulkan askar berkuda untuk berperang dengan golongan tersebut.
6) Nabi Idris juga orang pertama di bumi yang melakukan peperangan (yang bertujuan baik) dan baginda telah memenangi peperangan itu.
7) Allah mengurniakan kepada nabi Idris bahawa setiap kali seluruh umat manusia melakukan kebaikan, baginda juga akan mendapat pahala.
8) Nabi Idris berkata kepada malaikat yang merupakan sahabat baiknya (Dikatakan malaikat Jibril. Wallahua’alam) bahawa baginda ingin mengumpul sebanyak mungkin pahala sebelum mati.
9) Oleh itu nabi Idris meminta malaikat tersebut untuk membawanya bertemu dengan malaikat maut untuk berunding berkenaan tarikh matinya.
10) Malaikat tersebut pun membawa nabi Idris di belakang badannya dan terbang ke syurga ke-4 untuk bertemu malaikat maut.
11) Setibanya di syurga ke-4 dan selepas malaikat tersebut memberitahu malaikat maut apa tujuannya ke sana, malaikat maut pun bertanya, “Tapi di manakah Idris?”, Malaikat tersebut menjawab “Ada di belakangku”.
12) Malaikat maut sangat terkejut dan kagum kerana telah mendapat arahan untuk mencabut nyawa nabi Idris di syurga ke-4 dimana ianya mustahil kerana nabi Idris hidup di bumi. Maka nabi Idris pun dicabut nyawanya di syurga ke-4 seperti takdirnya.
13) Nabi Idris satu-satunya manusia yang mati di syurga. Begitulah mulianya nabi Idris.
14) Beribu tahun selepas kewafatan nabi Idris barulah iblis berjaya mencetuskan syirik yang pertama di kalangan manusia.
15) Selepas zaman nabi Idris, wujud 5 orang alim yang sentiasa mengajak manusia kepada kebaikan. Nama mereka ada disebut didalam al-Quran. Syaitan memulakan kerjanya selepas kelima-lima orang alim tersebut meninggal.
16) Syaitan menghasut manusia untuk memperingati 5 orang alim tadi dengan membuat patung batu dan menamakan setiap patung itu dengan nama orang alim tersebut. Setiap kali manusia melihat patung tersebut mereka sangat gembira dan mengingati semula ajaran orang alim itu untuk berbuat kebaikan.
17) Setelah berlalunya generasi tersebut, syaitan mula menghasut manusia dengan menyatakan tujuan patung-patung itu diwujudkan. Syaitan menyifatkan bahawa nenek moyang generasi terdahulu menyembah patung-patung ini dan kebaikan mula datang dan mereka menjadi orang-orang yang baik. Oleh itu generasi baharu perlu menyembah patung tersebut untuk menjadi orang yang lebih baik.
18) Maka dari situ bermulalah perbuatan syirik di kalangan manusia.


1 ) Nabi Nuh hidup di zaman kaum yang sudah tidak lagi percaya kepada Allah. Semua kaumnya syirik melainkan baginda seorang sahaja yang percaya kepada Allah.
2) Nabi Nuh mengambil masa selama 950 tahun berdakwah semata-mata. 950 tahun! Bukan sekejap. Dan selama itu, hanya beberapa orang sahaja yang kembali percaya kepada Allah dan mereka bukanlah orang yang berkepentingan dalam masyarakat.
3) Pelbagai cara nabi Nuh berdakwah namun sesiapa yang mendengarnya akan mencaci, menutup telinga, menghalau dan menuduh bahawa nabi Nuh sesat.
4) Apabila nabi Nuh berdakwah kepada orang yang berpengaruh dalam masyarakat, mereka seolah berkata, “Bagaimana kami mahu ikut kau kalau pengikut-pengikut kau hanyalah orang biasa/bawahan? Kalau kau nak kami ikut kau, kau buang dulu pengikut yang kau ada sekarang”. Mereka bukan kejar kebenaran tapi kedudukan dalam masyarakat.
5 ) Nabi Nuh tidak akan meninggalkan pengikutnya kerana mereka juga hamba Allah.
6) Allah berkata kepada nabi Nuh, sudah tidak akan ada lagi orang yang akan percaya. Allah menyuruh baginda untuk berhenti berdakwah, setakat itu sahaja pengikut nabi Nuh. Hidayah Allah sudah tertutup buat mereka yang lain.
7) Allah perintahkan nabi Nuh untuk membina sebuah kapal besar di atas gunung. Nabi Nuh membina kapal tersebut selama 100 tahun.
8 ) Orang ramai terus-terusan menghina nabi Nuh. Mereka memperlekeh tindakan nabi Nuh dengan berkata, “Kau kata kau nabi, sekarang jadi tukang kayu pula? Orang buat kapal tepi laut, kau buat atas gunung. Kau ni dah gila ke?”
9) Selepas kapal itu telah siap, Allah memerintahkan nabi Nuh untuk membawa pengikutnya dan semua spesis haiwan ke dalam kapal tersebut secara berpasangan jantan dan betina. Bagaimana semua haiwan ini boleh muat di dalam sebuah kapal? Kapal tersebut sebenarnya sangat besar, ketinggiannya sahaja seakan tinggi bangunan pencakar langit yang ada sekarang. Lebarnya tersangat besar dan disebabkan itu nabi Nuh mengambil masa 100 tahun untuk membinanya.
10) Kemudian, dengan kuasa Allah air turun dari langit dan naik dari tanah maka tenggelamlah segala-galanya di muka bumi. Yang terselamat hanyalah mereka di dalam kapal nabi Nuh.
11 ) Nabi Nuh mempunyai 4 orang anak lelaki; Yam, Shem, Ham dan Japheth. Yam tidak percaya kepada Allah. Dia enggan naik ke atas kapal dan mengatakan dia boleh tunggu di atas gunung. Pada masa yang sama, Allah terus memisahkan mereka dengan ombak air dan menenggelamkan Yam.
12 ) Nabi Nuh menunggu banjir reda selama 6 bulan. Setiap hari baginda menghantar burung untuk memeriksa keadaan di luar kapal dan setiap kali burung itu kembali, ia kembali tanpa membawa apa-apa. Suatu hari, burung itu kembali dengan membawa sehelai daun iaitu petanda yang baik. Kali kedua burung itu kembali, terdapat kesan tanah di kakinya, iaitu petanda bahawa banjir telah tamat.
13 ) Sama seperti ketika mula-mula ia dibina, kapal nabi Nuh mendarat di atas sebuah gunung.
14 ) Dengan kuasa Allah, semua pengikut nabi Nuh yang terselamat tidak beranak-pinak/mandul. Hanya keluarga nabi Nuh sahaja yang dapat melahirkan zuriat. Oleh sebab itu, nabi Nuh digelar “The Second Adam” kerana semua keturunan manusia yang hidup sekarang berasal daripada keturunan nabi Nuh.
15 ) Nabi Nuh hidup selama 350 tahun selepas banjir besar tersebut.


1) Nabi Hud datang daripada kaum Ad, sebuah kaum yang tinggal di tempat bernama Ad yang suatu ketika dahulu terletak di antara Oman dan Yemen. Kini tempat dan seluruh kaum Ad tersebut telah pun tiada.
2) Kaum Ad badannya bersaiz sangat besar dan sangat tinggi bagaikan gergasi. Mereka mempunyai segala jenis kekuatan; kekuatan fizikal, kekayaan yang melampau, kuasa politik, peradaban yang paling maju, kebijaksanaan dan banyak lagi.
3) Mereka juga boleh hidup beribu tahun lamanya dan setiap daripada mereka dapat melahirkan ratusan anak. Mereka terkenal dengan rumah-rumah yang terlampau besar. Kayanya mereka ini sehingga mampu bina istana mewah di atas gunung-gunung hanya untuk bermegah-megahan bukan untuk dijadikan tempat tinggal. Dikatakan sehingga kiamat pun tidak akan ada istana sehebat istana yang dibina kaum Ad. Selain itu, kuatnya mereka sehingga mampu mencabut pokok dengan menggunakan tangan sahaja.
4) Allah sebut di dalam al-Quran, kaum Ad merupakan kumpulan manusia yang paling hebat pernah dicipta; tiada manusia yang pernah dicipta seperti kaum Ad sebelumnya.
5) Namun kaum Ad merupakan kaum pertama yang memperkenalkan penyembahan tuhan selain daripada Allah selepas zaman nabi Nuh. Mereka menyembah berhala.
6) Allah menghantar seorang nabi di kalangan mereka iaitu nabi Hud yang tidak putus-putus berdakwah kepada mereka untuk bertaqwa kepada Allah. Seperti kaum nabi Nuh, mereka menghina, mencaci dan memperlekehkan nabi Hud. Nabi Hud berdakwah lagi, “Ingatlah bahawa kamu adalah keturunan Nuh yg terselamat dari malapetaka, bertaqwalah kepada Allah!” Mereka lemparkan pelbagai tuduhan kepada nabi Hud. Mereka mengatakan baginda seorang yang gila, dirasuk hantu, penipu dan sebagainya.
7) Kaum Ad mencabar nabi Hud, “Di mana tanda-tanda tuhanmu? Tunjuklah! Kau kata tuhanmu akan menghukum kami, tunjukkanlah! Tiada siapa boleh menghukum kami kerana kami terlalu kuat.” Kaum Ad sangat bongkak. Kemudian mereka bertanya lagi, “Siapa yang lebih kuat daripada kami?”. Mereka lupa bahawa Allah jauh lebih kuat daripada mereka.
8 ) Nabi Hud mengangkat sumpah bahawa baginda tidak terlibat dengan kejahilan kaum Ad dan baginda percaya kepada Allah. Kemudian nabi Hud mencabar mereka pula, “Lawanlah aku! Kalau kau betul-betul kuat, lawanlah aku! Sesungguhnya aku berserah kepada Penciptaku.” Selepas mendengar cabaran nabi Hud itu, mereka tidak berbuat apa-apa seakan tergaman. Terdetik dalam hati mereka sekelumit rasa takut dan percaya.
9) Nabi Hud berdoa kepada Allah untuk tunjukkan kebenaran. Maka Allah turunkan musim kering di negeri Ad selama 3 tahun. Kaum Ad mula meminta-minta dari ‘tuhan’ mereka untuk menurunkan hujan.
10 ) Nabi Hud berdakwah lagi. Nabi Hud berpesan sekiranya mereka mahukan hujan, mereka perlu beristighfar dan bertaubat. Maha Pencipta akan mengurniakan hujan yang indah dan lebih banyak kekuatan kepada mereka. Namun kaum Ad tetap berdegil.
11) Kemudian datanglah langit hitam di atas mereka. Mereka sangat gembira kerana beranggapan langit tersebut sarat dengan air hujan. Namun yang turun adalah angin taufan yang tersangat kuat, sejuk dan bising, selama 7 malam 8 hari. Angin tersebut telah memusnahkan seluruh Ad dengan amat dahsyat. Hancurnya mereka dek angin taufan itu sehingga tiada sedikit pun yang tinggal. Begitulah kepupusan kaum Ad.
12) Pengajaran yang boleh didapati adalah sebelum Allah menghukum seseorang atau suatu kaum, Dia kurniaka pelbagai nikmat - harta, perempuan, kuasa, zuriat, kecantikan dan banyak lagi. Apabila kita leka dengan keseronokan nikmat dunia, Allah berkuasa untuk mengambil semuanya semula. Ingatlah segalanya adalah milik Allah dan kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan nikmar yang diberikan.


1) Nabi Saleh berasal daripada Kaum Thamud yang hidup di Al-Hijr, Jordan. Gambar-gambar istana yang diukir daripada gunung batu yang suatu ketika dahulu pernah didiami kaum Thamud boleh dilihat melalui carian Google dengan kata kunci “Petra Jordan”.
2) Di dalam Al-Quran (15:82), surah Al-Hijr ayat 82, Allah menyebut tentang kaum Thamud, “Dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung-gunung batu (yang didiami) dengan aman.” Hingga sekarang, gunung-gunung ini dengan ukirannya sekali masih kekal di atas bumi Jordan. Peninggalan ini adalah sebagai peringatan daripada Allah kepada kita semua tentang apa yang telah berlaku kepada kaum yang telah mengakibatkan kemurkaan Allah.
3) Kaum Thamud mempunyai kehebatan teknologi yang lebih maju daripada kaum Ad. Lihat sahaja kemampuan mereka mengukir gunung batu dan menjadikan gunung sebagai rumah. Mereka juga mempunyai kekuatan fizikal, saiz badan yang besar dan kekayaan seperti kaum Ad.
4) Nabi Saleh yang juga daripada kalangan kaum Thamud datang daripada sebuah keluarga yg kaya-raya dan dihormati oleh masyarakat Thamud. Mereka telah mempersiapkan nabi Saleh untuk menjadi pemimpin mereka.
5) Setelah apa yang berlaku ke atas kaum Ad, syaitan sekali lagi memanipulasi hati manusia dan berjaya menyesatkan kaum Thamud. Kaum Thamud bukan sahaja menyembah berhala, mereka juga menyembah manusia di kalangan mereka sendiri. Siapa paling kaya atau berkuasa disembah sebagai dewa.
6) Allah telah memilih Nabi Saleh sebagai nabi dan baginda pun mula berdakwah mengajak kaumnya supaya bertaqwa kepada Allah. Kaum Thamud terkejut dan berkata, “Kami telah berharap kepadamu untuk menjadi pemimpin kami dan kini kamu meminta kami berpaling dari ajaran nenek moyang kami?” Mereka mula menghina dan mencaci Nabi Saleh. Apabila nabi Saleh mula mempunyai pengikut, mereka menuduh nabi Saleh adalah ahli sihir.
7) Nabi Saleh mengajak kaum Thamud bertaubat jika tidak, mereka akan mendapat malapetaka seperti kaum Ad. Kaum Thamud berkata, “Malapetaka apakah yang kau katakan? Rumah kami gunung batu! Jika adanya angin taufan, rumah kami tidak akan terbang! Jika hujan ribut, rumah kami boleh melindungi! Jika berlakunua gempa bumi, rumah kami takkan runtuh!” Begitu bongkak mereka terhadal Nabi Saleh.
8 ) Kaum Thamud mencabar nabi Saleh untuk membuktikan kebenaran.
9) Mereka menyuruh nabi Saleh mengeluarkan seekor unta betina daripada sebuah batu besar. Bukan itu sahaja, unta itu mestilah bunting 10 bulan, berbulu lebat warna merah, boleh minum semua air di lembah, boleh menghasilkan susu untuk seluruh kota dan pelbagai lagi. Mereka menyebut perkara-perkara yang mustahil kerana mereka tidak mengambil serius, hanya sekadar melawak.
10) Nabi Saleh berkata, “Jika aku bawakan unta ini kalian akan percaya kepada tuhanku?” Mereka menjawab, “Ya.”
11) Tiba hari yang dijanjikan, seluruh kaum Thamud berkumpul di hadapan batu besar tadi. Nabi Saleh berdoa kepada Allah untuk turunkan petunjuk kemudian batu itu pun terbelah dua maka keluarlah seekor unta betina yang sgt besar berwarna merah dan sedang bunting.
12) Kaum Thamud terus terbahagi kepada 2 kumpulan. Sebahagian mengaku percaya kepada Allah dan sebahagian lagi menuduh nabi Saleh menggunakan ilmu sihir.
13) Nabi Saleh berkata kepada mereka, “Unta ini akan hidup di kalanganmu dan jangan kamu bunuh unta ini.” Jika dibunuh, Allah akan menghukum kaum Thamud.
14) Semakin hari semakin ramai yang menjadi pengikut nabi Saleh setelah melihat unta tersebut. Apabila unta itu melahirkan anaknya, orang yang beriman semakin beriman dan orang yang musyrik semakin membenci.
15) Suatu hari, golongan yang tidak percaya kepada nabi Saleh telah membunuh unta besar tersebut beserta anaknya. Mereka mencabar lagi, “Mana hukuman tuhanmu? Tunjukkan!”
16) Allah berkata kepada nabi Saleh, masa mereka akan tiba dalam 3 hari. Ketika itu, Allah sangat murka.
17) Hari pertama, muka kaum Thamud bertukar kuning. Hari kedua, muka mereka bertukar merah. Hari ketiga, muka mereka menjadi hitam. Ketika itu mereka semua menangis dan menjerit kerana mereka tahu sesuatu yang buruk akan berlaku.
18) Kemudian Allah datangkan gelombang bunyi yang teramat kuat. Dengan serta merta mereka semua mati. Inilah kaum seterusnya yang Allah pupuskan daripada muka bumi.
19) Nabi Saleh berpindah ke Palestin di Kota Ramla dan tinggal di situ sehingga hari kewafatannya.


1) Nabi Ibrahim berasal dari Babylon yang kini dikenali sebagai Iraq.
2) Bapa nabi Ibrahim seorang pembuat patung berhala. Dia cuba melatih nabi Ibrahim untuk mengambil alih perniagaan penjualan patung berhala sejak kecil. Namun nabi Ibrahim merupakan seorang kanak-kanak pintar. Sejak umur 7 tahun, baginda sudah mula menyoal pelbagai soalan mengenai tuhan. Dia melihat bapanya mengukir patung berhala kemudian melihat orang beli dan menyembah patung tersebut. Baginda menyoal bapanya, mengapa orang menyembah patung buatan tangan bapanya itu? Bapanya cuma menjawab, jangan persoalkan tradisi nenek moyang kita.
3) Suatu hari bapa nabi Ibrahim menyuruh baginda membawa beberapa patung berhala untuk dijual kepada orang ramai. Dalam perjalan tersebut, baginda melalui sebuah sungai. Nabi Ibrahim telah mencampakkan patung tersebut ke dalam sungai dan berkata, “Berenanglah! Kalau kau dewa yang hebat, selamatkan diri dan berenang!” Namun patung-patung tersebut terus tenggelam ke dasar sungai.
4) Sehari dalam setahun, kaum nabi Ibrahim akan menyambut sebuah perayaan di mana mereka akan berkumpul di tengah kota untuk menyembah berhala. Sedang orang ramai sibuk berpesta, nabi Ibrahim telah menghancurkan patung-patung berhala di tempat penyembahan dengan kapak. Baginda meninggalkan satu patung yang paling besar kemudian diletakkan kapak tadi pada tangan patung tersebut.
5) Apabila orang ramai sedar degan apa yang terjadi, ramai yang menganggap bahawa nabi Ibrahim yang melakukannya kerana baginda terkenal dengan pertanyaan mengenai dewa-dewa mereka. Bahkan Allah kurniakan kepada nabi Ibrahim kehebatan berdebat oleh itu baginda terkenal dengan perdebatan mengenai agama. Orang-orang musyrik bersemuka dengan baginda untuk menyoal siasat adakah benar baginda yang melakukannya.
6) Nabi Ibrahim menjawab, “Mengapa tanya aku? Tanya si besar itu kerana kapak ada pada tangannya, semestinya dia yang menghancurkan kawan-kawannya yang lain.” Mereka memjawab semula, “Kau ni bodoh ke? Itu kan patung, tidak mungkin ia boleh bercakap atau bergerak!” Nabi Ibrahim berkata, “Sekarang aku atau kau yang bodoh? Kau tahu patung itu tidak boleh bergerak, bercakap, makan atau minum, tidak boleh lindungi diri sendiri apabila ada yang cuba menghancurkannya, jadi mengapa kau sembah dia?” Dalam hati mereka terdetik ada benarnya juga apa yang diperkatakan. Namun disebabkan ego untuk mempertahankan tradisi nenek moyang, mereka bersetuju untuk bunuh nabi Ibrahim.
7) Mereka menyalakan unggun api yang sangat besar dan panas untuk membakar nabi Ibrahim. Mereka mengikat nabi Ibrahim pada pucuk pokok untuk dihumban masuk ke dalam api. Dahsyat bukan? Kemudian Jibril datang kepada nabi Ibrahim untuk menghulurkan bantuan. Nabi Ibrahim berserah kepada Allah dengan berkata, tiada siapa boleh memberi pertolongan kecuali Allah. Kemudian Allah perintahkan api tadi untuk menjadi sejuk dan nyaman untuk nabi Ibrahim. Rujuk Al Quran (21:69).
8 ) Nabi Ibrahim berjalan keluar daripada api tadi tanpa terbakar sedikit pun, yang terbakar cumalah tali yang mengikat badannya tadi. Semua orang terkejut dan terpaku, takut untuk melakukan apa-apa pada nabi Ibrahim dan dari situ bermulalah ramai diantara mereka yang menjadi pengikut baginda. Orang pertama yang menjadi pengikutnya ialah nabi Luth, anak saudara baginda yang masih kecil lagi ketika itu.
9) Raja Namrud, seorang raja dari negeri lain telah mendengar tentang nabi Ibrahim dan menghantar askarnya untuk membawa nabi Ibrahim datang menghadap. Raja Namrud adalah seorang raja yang kejam yang mengaku dirinya tuhan. Dia berdebat dengan nabi Ibrahim. “Kau kata tuhan boleh menyebabkan hidup dan mati, aku pun boleh buat.” Dia panggil 2 orang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati. Dia bebaskan seorang dan seorang lagi dibunuh. “Nah! Aku dah menyebabkan hidup dan mati. Akulah tuhan!”
10) Nabi Ibrahim menjawab, “Tuhanku membuat matahari terbit dari timur dan tenggelam di barat. Kalau kau boleh terbitkan matahari dari barat aku akan menyembahmu.” Raja Namrud berasa egonya tercalar. Jika nabi Ibrahim adalah orang biasa, sudah lama baginda dibunuh. Oleh kerana semua orang tahu baginda tidak boleh dibahayakan, bakar sahaja tidak mati, jadi Raja Namrud agak takut dengan baginda dan telah menghalau baginda keluar daripada negara itu.
11) Nabi Luth, nabi Ibrahim dan isteri baginda Siti Sarah berhijrah ke As-Sham. Dalam perjalanan ke sana, mereka melalui sebuah tempat bernama Harran. Di sini orangnya memyembah bintang.
12) Nabi Ibrahim berpura-pura menyembah bintang dan apabila terbitnya matahari, bintang pun hilang. Nabi Ibrahim berpura-pura marah dengan berkata, “Tuhan mana boleh sekejap ada sekejap hilang!”. Kemudian baginda berpura-pura menyembah bulan dan selepas itu matahari pula. Sama sahaja, semua akan hilang apabila siang bertukar malam dan malam bertukar siang. Nabi Ibrahim berdakwah, sembahlah tuhan yang mencipta sekalian alam, yang mencipta siang dan malam, yang kekal abadi.
13) Mereka teruskan perjalanan ke negeri Sham. Sesampainya di Sham, Siti Sarah ditangkap oleh pengintip raja Sham untuk dijadikan gundik. Raja tersebut tidak boleh melihat perempuan cantik, pasti ditangkapnya dan dijadikan gundik istana. Siti Sarah merupakan perempuan tercantik yang pernah raja jumpa maka dia sangat teruja. Siti Sarah berdoa kepada Allah untuk perlindungan. Apabila raja tersebut meilhat Siti Sarah bersedih, dia turut bersedih. Oleh itu dia melepaskan Siti Sarah dan menghadiahkan seorang hamba perempuan bernama Siti Hajar.
14) Nabi Ibrahim dan Siti Sarah tinggal di Kota Sham bertahun lamanya sehingga tua. Perniagaan mereka semakin maju dan mereka hidup senang.
15) Nabi Ibrahim dan Siti Sarah hidup bahagia, mereka mempunyai segalanya namun baginda masih belum mempunyai zuriat. Siti Sarah adalah seorang wanita yang tidak dapat melahirkan anak dan pada ketika itu Siti Sarah sudah tua. Nabi Ibrahim juga sudah berusia 85 tahun. Namun kerana kasihnya Siti Sarah pada suaminya, Siti Sarah menghadiahkan hambanya bernama Siti Hajar kepada nabi Ibrahim dan mengizinkan mereka berkahwin. Tidak lama kemudian, dengan izin Allah, Siti Hajar mengandung.
16) Hari yang ditunggu telah pun tiba dan Siti Hajar melahirkan anak lelaki yang bernama Ismail. Nabi Ibrahim sangat teruja dengan kelahiran anaknya.
17) Mimpi pertama: Allah perintahkan nabi Ibrahim utk membawa Siti Hajar dan anak yang baru lahir tadi ke sebuah tanah tandus di As-Sham, tinggalkan mereka di situ dan terus pulang kepada Siti Sarah, isteri pertamanya. Oleh kerana ini perintah Allah, nabi Ibrahim terus melakukannya tanpa mengeluh atau banyak tanya. Ini ujian Allah kepada nabi Ibrahim. Baginda sanggup melakukannya atas dasar perintah Allah.
18) Siti Hajar dan nabi Ismail ditinggalkan di tengah padang pasir yang tidak diketahui tempatnya. Apabila makanan telah habis, susu badannya kering. Nabi Ismail mula menangis dan Siti Hajar merasakan dia perlu lakukan sesuatu. Siti Hajar berlari-lari anak ke atas sebuah bukit bernama Safa untuk melihat dari atas jika ada orang yang lalu supaya dia dapat meminta bantuan. Kemudian berlari-lari anak ke sebuah lagi bukit bernama Marwa dan meninjau dari atas bukit itu pula. Diulang alik beberapa kali dari dua bukit tersebut. Tiba-tiba Siti Hajar terdengar satu bunyi daripada bawah. Siti Hajar berlari turun dari bukit ke arah anaknya. Bunyi tersebut adalah bunyi air yang sedang memancut keluar daripada tanah. Allah telah menurunkan bantuan kepada mereka.
19) Siti Hajar mengambil sedikit tanah basah dan bentukkan ia menjadi sebuah mangkuk kemudian ditadah air menggunakan mangkuk tersebut. Apabila sudah penuh, dia menyebut “Zam! Zam! Zam! Zam!” yg bermaksud, “Berhenti! Berhenti! Berhenti! Berhenti!” kerana air itu tidak berhenti memancut. Itulah air zam zam yang sehingga sekarang pun tidak berhenti keluar daripada tanah. Daripada air itu maka dapatlah Siti Hajar minum dan menghasilkan susu untuk nabi Ismail.
20) Di padang pasir, kebiasaannya pengembara nomad akan mencari burung kerana di mana ada burung di situ ada air. Orang Jurhum merupakan sebuah kaum yang sedang mengembara di situ dan daripada jauh mereka ternampak sekumpulan burung yang berterbangan di atas air zam zam tadi. Apabila mereka semakin mendekati, mereka ternampak ada seorang wanita dan seorang bayi. Mereka pun bertanya kepada Siti Hajar, “Bolehkah kami menetap di sini? Kerana di sini ada air, sebuah keajaiban di tengah padang tandus!” Siti Hajar melihat mereka ini sepertinya orang yang baik, maka diizinkan mereka menetap di situ dan minum dari air zam zam, dengan syarat perigi air zam zam menjadi hak dia dan anaknya. Maka bermulalah penempatan manusia di kawasan itu yang sekarang dikenali sebagai Mekah. Kaum Jurhum sangat sayang kepada nabi Ismail. Mereka membelanya dengan baik, mengajarnya bahasa Arab dan membesarkannya sebagai orang yang beriman.
21) Nabi Ibrahim selalu datang untuk melihat anaknya nabi Ismail. Nabi Ismail telah membesar dengan sempurna, sangat beriman kepada Allah dan nabi Ibrahim sangat sayang pada anaknya.
22) Mimpi kedua: Nabi Ibrahim berkata kepada nabi Ismail, “Aku telah mendapat mimpi. Allah telah memerintahku untuk menyembelihmu.” Tanpa berfikir panjang nabi Ismail terus berkata, “Ayah mesti lakukan. Ini perintah Allah.” Begitulah taatnya nabi Ismail kepada Allah. Lalu mereka menuju ke sebuah tempat yang tidak berapa jauh dari situ. Nabi Ismail yakin Allah tidak akan menyakitinya. Semasa dalam perjalanan, iblis muncul untuk menimbulkan ragu-ragu didalam hati nabi Ibrahim. Iblis berkata, “Betul ke kau nak bunuh anak kau ni?” Nabi Ibrahim campakkan batu ke arah Iblis itu. Iblis pergi kepada Ismail pula dan cuba menghasut, “Kau sanggup mati dibunuh bapa sendiri?” Ismail campakkan batu ke arah Iblis. Iblis pergi ke arah kedua-duanya dan cuba menghasut buat kali ketiga untuk menghentikan mereka daripada melaksanakan perintah Allah. Nabi Ibrahim dan nabi Ismail campakkan batu ke arah Iblis itu lagi. Inilah asal usul Jamratul Ula, Wusta & Aqabah dimana jemaah haji melontar batu.
23) Sampai di tempat yang dituju, nabi Ismail sedia berbaring untuk disembelih. Sebelum itu, baginda berpesan kepada bapanya, “Tunggu dahulu, terbalikkan aku supaya apabila mukaku menghadap ke tanah ayah tidak dapat melihat wajahku dan tajamkanlah pisau itu supaya ayah boleh melakukannya dengan cepat.” Nabi Ismail tidak mahu ayahnya melihat mukanya kerana bimbang timbul rasa simpati dan ragu untuk menjalankan perintah Allah.
24) Apabila disembelihnya nabi Ismail, pisaunya tidak terbenam. Dicuba dan cuba lagi. Rupanya setiap kali nabi Ibrahim cuba menyembelih, bilah pisau yang tajam itu terbalik ke atas. Bahkan pisau juga berpaling untuk melakukan sesuatu jika tidak diizinkan Allah. Kemudian Allah menggantikan tempat nabi Ismail dengan seekor kambing. Ini ujian Allah yang seterusnya keada nabi Ibrahim.
25) Mimpi ketiga: Allah perintahkan nabi Ibrahim dan Ismail utk membina Kaabah. Nabi Ibrahim dan Ismail mengumpulkan batu-batu dan mula membina sebuah bangunan berbentuk kotak. Nabi Ibrahim berdiri di atas sebuah batu dan nabi Ismail menghulurkan batu bata kepada bapanya.
26) Untuk batu yang terakhir, nabi Ibrahim meminta nabi Ismail untuk mencari batu paling paling cantik bagi melengkapi Kaabah namun tidak dijumpai batu yang sesuai. Tiba-tiba nabi Ibrahim datang kepada anaknya sambil membawa sebuah batu yang sangat cantik dan suci. Nabi Ibrahim berkata batu itu Allah telah turunkan kepadanya dari Jannah. Itulah batu Hajar Al-Aswad.
27) Setelah lengkapnya Kaabah, batu yang berada di bawah tapak kaki nabi Ibrahim menjadi lembut seketika menyebabkan tertinggalnya kesan tapak kaki nabi Ibrahim. Artifak batu tersebut adalah sebagai peringatan kepada manusia tentang peristiwa bersejarah ini. Rujuk Al Quran (2:12).
28) Kemudian Allah perintahkan nabi Ibrahim untuk melaungkan panggilan kepada seluruh umat manusia untuk datang menunaikan ibadah haji. Nabi Ibrahim lihat sekeliling, tidak ada orang. Disitu merupakan kawasan padang pasir. Siapa yang akan mendengar panggilannya? Nabi Ibrahim berkata kepada Allah, “Ya Allah suara ku tidak sampai.” Allah menyuruh nabi Ibrahim laksanakan sahaja perintah tersebut dan selebihnya berserah kepada Allah. Maka nabi Ibrahim pun melaungkan, “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kalian semua untuk melaksanakan haji ke baitullah ini, supaya kalian mendapat pahala ke syurga dan menyelamatkan kalian daripada seksa neraka”. Sehingga sekarang, tidak henti-henti manusia dari seluruh pelusuk dunia datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.
29) Setelah beberapa ujian dan perintah Allah ke atas nabi Ibrahim, datangnya khabar gembira. Pada usia nabi Ibrahim 120 tahun dan isterinya Siti Sarah 90-an, tiga malaikat bertemu dengan nabi Ibrahim membawa berita gembira bahawa Siti Sarah mengandung anak lelaki iaitu nabi Ishak. Siti Sarah terkejut kerana mereka sudah sangat tua dan Siti Sarah seorang wanita yang tidak boleh melahirkan anak.
30) Berita gembira bersambung lagi, bukan itu sahaja, mereka akan hidup dalam masa yang cukup lama untuk melihat anak kepada nabi Ishak iaitu Yaakub. Allah menceritakan didalam Al Quran, nabi Ibrahim melahirkan keturunan para nabi iaitu Ishak, Yaakub, Ayub, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Yahya, Isa, Ilyas, Ismail, Ilyasa, Yunus dan Luth. Nabi Muhammad juga daripada keturunan ini. Allah janjikan dua perkara yg akan kekal dalam keluarga nabi Ibrahim iaitu kenabian dan wahyu Allah.
31) Nabi Ibrahim disanjung sebagai nabi oleh pelbagai agama - Islam, Kristian, Yahudi. Semua menghormati ajaran nabi Ibrahim dan namanya disebut dalam semua kitab. Nabi Ibrahim mempunyai darjah kebesaran yang paling besar di kalangan nabi-nabi, selepas kewafatan nabi Muhammad. Impaknya wujud sehingga sekarang.


1) Nabi Luth berasal daripada Babylon (Iraq) di tanah kelahiran bapa saudaranya nabi Ibrahim. Semasa dalam perjalanan nabi Ibrahim berhijrah bersama keluarganya dari Iraq ke Syria ke Palestin yang turut disertai oleh nabi Luth, Allah telah memerintahkan nabi Luth untuk pergi ke sebuah kota bernama Sodom utk menjalani misi yang paling mencabar iaitu berdakwah kepada orang-orang Sodom supaya bertaubat dan kembali ke jalan Allah.
2) Kota Sodom terletak di sempadan Jordan dan Palestin yang sekarang dikenali sebagai Laut Mati atau ‘The Dead Sea’. Pada masa itu, Laut Mati merupakan sebuah tanah rata dan Kota Sodom ini menjadi tumpuan para pengembara dan pedagang yang datang untuk berdagang. Kota tersebut pesat namun penuh dengan rasuah dan ketidakjujuran. Kemungkaran berlaku berleluasa sehinggakan Allah menggunakan perkataan-perkataan yg paling hina untuk menerangkan kaum Luth (penduduk Sodom) di dalam Al Quran.
3) Kaum ini melakukan segala jenis jenayah seperti merompak, membunuh, dan kaum Luth adalah kaum yang pertama sekali melalukan kegiatan homoseksual (perkataan ’sodomy’ berasal daripada nama kaum ini). Teruknya akhlak mereka ini sehingga mereka bangga dengan status LGBT dan melakukan maksiat songsang di khalayak ramai adalah normal bagi mereka.
4) Nabi Luth berhijrah dan menetap di Kota Sodom. Berkali-kali nabi Luth mengajak kaumnya untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah. Namum kaum terkutuk ini benci dengan dakwah nabi Luth sehingga menyuruh baginda diam dan dilarang bercakap dengan sesiapa pun. Nabi Luth bersumpah kepada Allah bahawa baginda tidak terlibat dan tidak akan sama sekali terjebak dengan kegiatan kaumnya. Mereka terasa hina dengan sumpah nabi Luth itu seolah-olah baginda berlagak suci. Kemudian mereka mengugut nabi Luth. Jika baginda tidak berhenti berdakwah, mereka akan menghalau keluarga nabi Luth keluar dari kota Sodom.
5) Nabi Luth tidak menghiraukan ugutan kaumnya dan terus-terusan berdakwah. Nabi Luth berpesan, takutlah dengan hukuman Tuhan! Sehingga sampai satu masa kaum itu mencabar baginda, “Bawakan hukuman tuhanmu sekarang! Buktikan kepada kami!” Maka Allah pun menurunkan kemurkaannya. Allah menghantar tiga malaikatnya yang menyerupai tiga pemuda yang sangat tampan.
6) Selingan: Ketika tiga malaikat ini ke kota Sodom, mereka ke rumah nabi Ibrahim terlebih dahulu. Nabi Ibrahim tidak kenal siapakah tiga pemuda ini namun disebabkan baginda sangat menghormati tetamu, nabi Ibrahim menghidangkan makanan yang sedap-sedap daripada sapi yang disembelihnya. Apabila Nabi Ibrahim makan, tiga tetamunya tidak menyentuh makanan tersebut. Nabi Ibrahim mula berasa hairan. Kemudian mereka berkata, “Jangan takut, kami adalah malaikat yang dihantar oleh Allah”. Dan mereka menyampaikan berita gembira bahawa Siti Sarah, isteri nabi Ibrahim yang mandul, sedang mengandungkan anak kedua nabi Ibrahim iaitu nabi Ishak (anak pertamanya ialah nabi Ismail dari isteri keduanya Siti Hajar). Dan mereka juga memberitahu bahawa mereka akan ke Sodom untuk memusnahkan kaum Luth atas perintah Allah. Nabi Ibrahim resah kerana risaukan anak saudaranya, nabi Luth dan berdoa agar Allah menyelamatkan nabi Luth sekeluarga.
7) Dari jauh, anak perempuan nabi Luth ternampak tiga pemuda tampan tadi memasuki kota Sodom. Dia terus berlari pulang ke rumah dan memberitahu bapanya. Nabi Luth bertemu dengan tiga pemuda itu dan cuba memujuk mereka untuk patah balik semula namun ditolak. Oleh itu, Nabi Luth membawa mereka ke rumahnya secara sembunyi kerana bimbang kepada pemuda tampan tersebut dek kerana maksiat songsang sangat berleluasa pada ketika itu.
8 ) Isteri nabi Luth ialah seorang musyrik yang tidak percaya kepada dakwah suaminya. Apabila isteri baginda melihat tiga pemuda tersebut di rumahnya, dia memberitahu orang ramai untuk datang melihat. Kemudian para lelaki daripada kaum itu datang beramai-ramai dan mengetuk pintu rumah nabi Luth. Nabi Luth berkata, “Jangan kamu malukan aku di depan tetamuku!” Nabi Luth berkata “Berkahwinlah dengan anak-anak perempuanku!” Mereka menjawab, “Kau tahu kami tidak berminat dengan anak perempuanmu dan kau mengetahui apa yang kami mahukan” Rujuk Al Quran (11:79). Nabi Luth berkata lagi, “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau mempunyai penyokong-penyokong yang kuat” rujuk Al Quran (11:80).
9) Kemudian tiga pemuda tadi berkata kepada nabi Luth bahawa mereka sebenarnya malaikat yang diutus Allah untuk membinasakan kaum Luth. Mereka menyuruh nabi Luth membawa keluarganya lari daripada kota itu pada waktu malam dan jangan seorang pun toleh ke belakang; kecuali isterinya. Rujuk Al Quran (11:81). Salah seorang malaikat tadi adalah Jibril. Jibril membuka pintu rumah nabi Luth dan sepantas angin memukul seluruh kaum Luth lalu mereka menjadi buta. Kemudian nabi Luth sekeluarga lari dari kota Sodom. Allah menurunkan tiga malapetaka kepada kaum nabi Luth.
10) Pertama: Keesokan paginya, datang bunyi kuat yang amat dahsyat yang dipanggil As-Saihah. Kuatnya bunyi itu sehingga bergegarnya tanah. Bunyi ini lah yang Allah turunkan untuk membinasakan kaum Thamud sebelum ini.
11) Kedua: Jibril kembali ke bentuk asalnya dan menggunakan hujung sayapnya, dia telah mengangkat seluruh kota Sodom ke langit dan menterbalikkannya dan ia jatuh ke bumi.
12) Ketiga: Kemudian Allah menurunkan batu-batu berapi menghujani kota Sodom - Rujuk Al Quran (11:82). Dan setiap batu itu bertanda nama setiap org kaum Luth yang akan ditimpanya - rujuk Al Quran (11:83).
13) Maka hilanglah sebuah lagi kaum dan kotanya sekali di bumi Allah, akibat mencabar kemurkaanNya. Allah kemudian menjadikan Laut Mati di tempat asal kota Sodom sebagai peringatan kepada manusia tentang apa yang telah terjadi kepada kaum Lut.
14) Nabi Luth pergi berjumpa bapa saudaranya, Nabi Ibrahim untuk menceritakan apa yang telah berlaku namun nabi Ibrahim telah pun mengetahuinya. Nabi Luth meneruskan hidupnya berdakwah kepada orang ramai supaya sentiasa beriman kepada Allah.


1) Kebanyakan kisah mengenai nabi Ismail telah pun diceritakan di dalam kisah nabi Ibrahim (Bahagian 2). Kalian boleh rujuk semula kisah tersebut yang menceritakan bagaimana nabi Ismail dan ibunya ditinggalkan di tengah tanah tandus kemudian dibesarkan oleh kaum Jurhum, kemudian disembelih bapanya sebagai korban namun digantikan tempatnya dengan seekor kambing, dan seterusnya membantu bapanya membina Kaabah.
2) Nabi Ismail tinggal di Mekah di kalangan kaum Jurhum yang berbangsa Arab. Nabi Ismail bukan orang Arab tetapi baginda dibesarkan oleh orang Arab. Nabi Ismail sangat fasih berbahasa Arab dan baginda disenangi masyarakat setempat. Ketika dewasa, nabi Ismail berkahwin dengan seorang wanita dari kalangan kaum Jurhum.
3) Suatu hari, nabi Ibrahim datang ke Mekah untuk menziarahi anaknya nabi Ismail. Baginda pergi ke rumah nabi Ismail dan isteri nabi Ismail telah membuka pintu dan memberitahu suaminya tiada di rumah. Isterinya itu tidak mengenali siapa orang tua yang datang itu. Nabi Ibrahim bertanya kepada wanita itu bagaimana keadaan nabi Ismail dan kehidupan mereka sekeluarga. Isteri nabi Ismail pun menceritakan bahawa mereka hidup susah, nabi Ismail tidak memberi makan yang cukup dan mengadu pelbagai perkara tentang suaminya. Kemudian nabi Ibrahim berkata, “Baiklah, kirimkan salamku kepada nabi Ismail dan pesan kepadanya untuk menukar bendul pintu rumah.” Dan nabi Ibrahim pun pulang sebelum sempat isteri nabi Ismail tanya siapakah baginda.
4) Apabila nabi Ismail pulang ke rumah, baginda dapat merasakan bapanya ada datang ke rumahnya maka baginda bertanya kepada isterinya. Isterinya berkata, ya ada orang tua telah datang dan memesan untuk menukar bendul pintu rumah. Nabi Ismail pun berkata, “Ya itu bapaku. Dia telah memesan untuk menceraikan kamu. Biar aku hantar kau pulang kepada keluargamu.”
5) Kaum Jurhum sangat menghormati para nabi dan mereka percaya apabila nabi Ibrahim berpesan untuk melakukan sesuatu pasti ada sebab yang munasabah. Tidak lama selepas itu, mereka mengahwinkan nabi Ismail dengan seorang lagi wanita dari kaum Jurhum.
6) Nabi Ibrahim datang lagi ke Mekah untuk menziarahi anaknya. Kali ni isteri kedua nabi Ismail yang menyambut dan dia pun tidak mengenali bahawa itu adalah bapa mertuanya. Nabi Ibrahim bertanya soalan yang sama, bagaimana keadaan nabi Ismail dan bagaimana kehidupan mereka sekeluarga. Isteri nabi Ismail menjawab, semuanya baik-baik sahaja dan tiada keluhan seterusnya. Nabi Ibrahim berkata, “Kirimkan salamku kepada Ismail dan pesan kepadanya untuk kekalkan bendul pintu rumah yang sekarang.” Dan nabi Ibrahim pun pulang sebelum sempat isteri nabi Ismail bertanya siapakah baginda.
7) Apabila nabi Ismail pulang ke rumah, sekali lagi baginda dapat merasakan bahawa bapanya ada datang ke rumahnya maka baginda bertanya kepada isterinya. Isterinya berkata, “Ya ada orang tua telah datang dan memesan untuk kekalkan bendul pintu rumah yang sekarang”. Nabi Ismail pun berkata, “Ya itu bapaku. Dia telah memesan supaya jangan menceraikan kamu.”
8 ) Nabi Ismail dan isterinya melahirkan keturunan kacukan Arab yang berpanjangan sehingga lahirnya nabi Muhammad.
9) Pengajaran yang boleh diperoleh adalah seburuk mana pun pasangan kita, bersyukurlah dan jangan menceritakan keburukan mereka kepada orang lain.


1) Nabi Ishak dilahirkan di Palestin dan dibesarkan oleh ibu bapanya, nabi Ibrahim dan Siti Sarah.
2) Kelahiran Nabi Ishak merupakan keajaiban Allah kerana baginda lahir ketika ibu bapanya sudah sangat tua (Nabi Ibrahim berusia 120 tahun dan Siti Sarah 90-an) dan Siti Sarah merupakan wanita yang tidak boleh melahirkan zuriat.
3) Ketika Allah menghantar tiga malaikat kepada nabi Ibrahim untuk menyampaikan bahawa mereka diutuskan untuk membinasakan kaum Luth, Allah menerangkan di dalam al-Quran bahawa Siti Sarah tertawa kerana akhirnya sesuatu akan berlaku kepada kaum Lut dan kemudian tiga malaikat tersebut turut menyampaikan berita gembira bahawa Siti Sarah sedang mengandungkan nabi Ishak. Ishak atau Isaac bermaksud “yang membawa gelak tawa” sempena gelak tawa Siti Sarah tadi.
4) Seperti nabi Ismail, nabi Ishak menjadi penyambung legasi bapa mereka dalam menyebarkan kebaikan melalui agama Islam. Nabi Ishak menyerahkan seluruh hidupnya sebagai seorang nabi yang memperjuangkan agama Allah.
5) Nabi Ismail melahirkan keturunan kacukan arab sehingga lahirnya nabi Muhammad. Manakala nabi Ishak pula melahirkan nabi Yaakub yang melahirkan 12 orang anak (termasuk nabi Yusuf) yang membentuk 12 bani Israel. Daripada bani Israel lahirlah kebanyakan nabi seperti nabi Musa, Isa, Harun, Daud dan Sulaiman.
6) Nabi Ishak wafat di Khaleel, Palestin seperti bapanya.


1) Allah menceritakan tentang kisah nabi Yaakub dan nabi Yusuf kepada nabi Muhammad dalam surah Yusuf.
2) Isteri pertama nabi Yaakub telah melahirkan 10 orang anak lelaki dan isteri keduanya melahirkan 2 lagi anak lelaki iaitu Yusuf dan Binyamin. Nabi Yaakub dikurniakan mukjizat boleh mentafsir mimpi. Satu-satunya anak yang mempunyai kebolehan mentafsir mimpi sepertinya ialah anak kesayangannya, nabi Yusuf. Nabi Yaakub tahu bahawa Yusuf akan menjadi seorang yang sangat istimewa maka dia memberi Yusuf lebih perhatian berbanding anak-anaknya yang lain.
3) Ketika Yusuf masih kecil, dia telah bermimpi matahari, bulan dan 11 bintang sujud kepadanya. Baginda bangun dan terus mencari bapanya. Dia tidak faham apakah maksud mimpi tersebut. Nabi Yaakub berpesan kepadanya, jangan menceritakan kepada abang-abangnya yang lain kerana khuatir mereka akan cemburu dan mengapa-apakan Yusuf. 10 orang abangnya memang telah lama cemburukan nabi Yusuf kerana Nabi Yaakub melebihkan nabi Yusuf - Rujuk al-Quran (12:8). Oleh kerana ketika itu Yusuf kecil lagi, baginda pun menceritakan kepada abang-abangnya tentang mimpinya. Mereka tertawakan nabi Yusuf dan pada masa yang sama semakin cemburukan nabi Yusuf. Oleh itu, mereka membuat perancangan untuk membunuh nabi Yusuf dan selepas itu bertaubat semula - Rujuk al-Quran (12:9)
4) Nabi Yaakub sentiasa mengawasi Yusuf dan tidak pernah melepaskan nabi Yusuf untuk bermain dengan abang-abangnya. Apabila abang-abangnya meminta izin untuk membawa Yusuf bermain bersama-sama, nabi Yaakub tidak mengizinkan kerana risau mereka akan leka dan serigala akan memakan nabi Yusuf. Abang-abangnya berjanji akan menjaga Yusuf kerana mereka sayangkan adik mereka itu. Nabi Yaakub pun memberi keizinan. Kemudian mereka membawa Yusuf ke suatu tempat yang jauh daripada bapa mereka.
5) Dalam perjalanan, mereka membuli dan menolak Yusuf. Sampai ke suatu tempat yang sesuai untuk membunuh adik mereka itu, salah seorang daripada mereka memberi idea untuk menghumbankan sahaja Yusuf ke dalam perigi yang berada di situ dan menutup perigi tersebut. Pasti akan ada orang yang lalu dan mengambil nabi Yusuf - Rujuk Quran (12:10). Oleh kerana mereka rasakan membunuh itu terlalu kejam, mereka pun bersetuju. Mereka membuka pakaian nabi Yusuf dan menolak baginda jatuh ke dalam perigi yang gelap itu. Kemudian mereka kotorkan baju Yusuf dengan cecair warna merah seakan darah.
6) 10 beradik itu pun pulang kepada bapa mereka sambil menangis dan berkata Yusuf sudah mati ditelan serigala. Alasannya, mereka terleka bermain dan berlari sehingga tidak sedar bahawa adik mereka telah hilang dimakan serigala. Kemudian mereka menunjukkan baju nabi Yusuf yang berlumuran darah kepada bapa mereka. Sebagai orang tua yang bijak pandai, nabi Yaakub tahu bahawa itu semua tidak benar. Jika benar serigala memakan anaknya, mengapa baju nabi Yusuf tidak berkoyak? Nabi Yaakub sangat kecewa dengan anak-anaknya dan baginda menjadi sangat sedih kerana kehilangan anak kesayangannya. Sedihnya berpanjangan sehingga berdekad lamanya.
7) Sementara itu, sekumpulan pengembara telah datang ke perigi tadi untuk mencari air. Apabila mereka menaikkan gayung, mereka mendapati bukanlah air tetapi seorang budak yang cantik rupanya. Mereka membawa budak itu dari Palestin ke Mesir dan menjualnya di pasar dengan harga yang murah.
8 ) Walaupun dijual dengan harga yang murah, dengan kuasa Allah, menteri kewangan Mesir yang bergelar Al-Aziz (org paling berkuasa selepas raja Mesir) telah ditakdirkan pergi ke pasar tersebut dan membeli nabi Yusuf untuk dijadikan hamba di istananya. Al-Aziz tidak ada anak dan apabila melihat nabi Yusuf, beliau teringin membelanya bersama isterinya di istana. Maka Yusuf membesar di istana menteri tersebut. Al-Aziz sayang dan percaya kepada nabi Yusuf seperti anaknya sendiri. Beliau telah mengajar nabi Yusuf ilmu pengurusan kewangan dan baginda diamanahkan untuk melakukan tugasan yang penting.
9) Apabila nabi Yusuf semakin dewasa, baginda menjadi seorang pemuda yang bijak, beriman dan yang paling menonjol, rupanya yang terlalu tampan. Sebuah hadis ada menceritakan nabi Muhammad telah bertemu dengan nabi Yusuf ketika Isra’ Mi’raj dan baginda menggambarkan kecantikan yang ada pada nabi Yusuf sebagai separuh kecantikan daripada seluruh dunia.
10) Satu hari, ketika Al-Aziz tiada di istana, isterinya yang cantik bernama Zulaikha telah memanggil Yusuf masuk ke sebuah bilik. Zulaikha mengunci semua pintu dan tingkap dalam bilik tersebut dan membuka pakaiannya kemudian memanggil nabi Yusuf merapatinya. Nabi Yusuf menolak dan berkata, “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya Allah sedang melihat.” - Rujuk al-Quran (12:24). Zulaikha ditenggelami hawa nafsu dan mula mengejar nabi Yusuf. Bermulalah adegan kejar-mengejar di mana Zulaikha telah mengoyakkan bahagian belakang baju nabi Yusuf. Apabila Al-Aziz pulang ke istananya, beliau terdengar bunyi bising dari dalam bilik dan hamba-hamba di istana pun mula berkumpul. Beliau membuka pintu dan terlihatlah adegan kejar mengejar itu. Zulaikha terus menutup badannya dan menuduh Yusuf telah cuba memperkosanya dan baginda patut dipenjarakan - Rujuk al-Quran (12:25).
11) Nabi Yusuf berkata, “Tidak! Dia yang cuba menggodaku!” Kemudian salah seorang ahli keluarga Al-Aziz yang juga telah menyaksikan adegan kejar-mengejar tadi berkata, “Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian hadapan, Zulaikha berkata benar. Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian belakang, Zulaikha berbohong.” Dan didapati baju nabi Yusuf koyak di bahagian belakang - Rujuk al-Quran (12:27-28). Al-Aziz kecewa dengan isterinya namun tindakan yang diambil hanyalah dengan menyuruh Zulaikha bertaubat dan meminta Yusuf untuk melupakan apa yang telah terjadi dan memintanya untuk tidak menceritakan kepada sesiapa.
12) Khabar angin mengenai Zulaikha menodai hamba istana tersebar dengan pantas. Sebagai wanita yang berstatus tinggi, Zulaikha tidak boleh membiarkan orang lain bercerita mengenai dirinya. Dia menjemput wanita di seluruh kota Mesir untuk datang ke majlis makan di istananya. Mereka dihidangkan dengan buah-buahan dan pisau buah. Apabila para tetamu telah mula memotong buah, Zulaikha memanggil nabi Yusuf untuk datang mengadap. Apabila nabi Yusuf masuk ke dewan makan, mereka semua terpegun dengan ketampanan nabi Yusuf sehingga lupa segala yang sedang berlaku dan tidak sedar bahawa mereka sedang memotong jari mereka sendiri. Kemudian mereka berkata, “Ya Tuhan! Lelaki ini bukanlah manusia, dia seorang malaikat!” - Rujuk al-Quran (12:31).
13) Zulaikha terus mentertawakan tetamunya dan berkata, “Inilah orangnya yang telah membuat kamu semua mengutukku. Sekarang lihat diri kamu sendiri! Kamu juga tertarik dengannya. Ya, aku telah menodainya dan dia telah menolak. Sekiranya dia menolak ajakan aku lagi, akanku humbannya di dalam penjara.” - Rujuk al-Quran (12:32). Tetamunya tadi pun menyuruh nabi Yusuf untuk menerima Zulaikha. Yusuf berdoa, “Ya Allah, aku lebih sanggup dipenjarakan daripada melakukan maksiat seperti yang diajak wanita ini” - Rujuk al-Quran (12:33).
14) Bagi menutup aib keluarga, Al-Aziz memutuskan untuk memasukkan nabi Yusuf ke dalam penjara - Rujuk al-Quran (12:35). Nabi Yusuf berkongsi sel penjara bersama dua orang lagi banduan. Semasa dalam penjara, nabi Yusuf tidak putus beribadah dan berdoa kepada Allah dan setiap kali waktu makan, nabi Yusuf dapat mengagak dengan tepat makanan apa yang mereka akan dapat. Dua banduan tadi dapat merasakan sesuatu yang istimewa mengenai nabi Yusuf kerana baginda seorang yang beriman dan boleh mentafsir mimpi. Suatu hari, mereka menceritakan tentang mimpi mereka. Banduan pertama telah bermimpi memerah arak dan banduan kedua telah bermimpi beberapa burung mematuk roti dari atas kepalanya. Nabi Yusuf mentafsir, banduan pertama akan dibebaskan dan banduan kedua akan dijatuhi hukuman mati - Rujuk al-Quran (12:36). Dan benar, itulah yang terjadi ke atas mereka.
15) Apabila banduan pertama dibebaskan dan dibenarkan untuk kembali berkhidmat kepada raja Mesir, nabi Yusuf meminta dia berjanji untuk memberitahu raja Mesir tentangnya. Namun syaitan telah menyebabkan dia terlupa tentang nabi Yusuf selama 7 tahun - Rujuk al-Quran (12:42).
16) Tiba suatu masa, raja Mesir telah mengalami mimpi yang sangat aneh. Tiada tukang tilik atau penasihat yang dapat mentafsir mimpinya dan raja itu semakin runsing. Tiba-tiba bekas banduan tadi teringat akan nabi Yusuf, rakannya di penjara. Dia pergi berjumpa dengan nabi Yusuf di penjara untuk meminta bantuan.
17) Bekas banduan itu berkata, raja Mesir telah bermimpi 7 ekor lembu kurus memakan 7 ekor lembu gemuk, kemudian ada 7 batang gandum hijau segar dan 7 batang gandum kering. Nabi Yusuf berkata, “Mesir akan mengalami 7 tahun yang subur dengan tanaman. Makanlah dari hasilnya dengan berjimat dan simpanlah bekalan yang banyak untuk alami kemarau.” Bekas banduan tadi pun pulang ke istana dan sampaikan tafsiran mimpi tadi kepada raja Mesir. Raja Mesir sangat gembira dan kagum dengan tafsiran tersebut dan meminta supaya nabi Yusuf dibebaskan dan dibawa ke istana.
18) Nabi Yusuf menuntut keadilan ke atas dirinya dan raja Mesir pun memanggil Zulaikha datang mengadap. Zulaikha mengaku bersalah atas dakwaan terhadap nabi Yusuf. Baginda akhirnya terbukti tidak bersalah. Raja Mesir melihat ketelusan di dalam diri nabi Yusuf dan menawarkan baginda menjadi penasihat raja. Atas kebolehan yang dimilikinya dalam pengurusan kewangan, Yusuf minta kedudukan sebagai menteri kewangan.
19) 7 tahun kemarau pun tiba. Mesir satu-satunya negara yang mempunyai simpanan makanan yang mencukupi pada masa itu. Pada waktu yang sama, 10 orang abang nabi Yusuf telah merantau ke Mesir dari Palestin untuk membeli bekalan makanan. Nabi Yusuf sangat kenal dengan wajah abangnya namun mereka tidak mengenali nabi Yusuf.
20) Mereka mahu membeli gandum tetapi mahu membeli dengan kadar lebih daripada yang sepatutnya untuk adik mereka, Binyamin. Binyamin tidak ikut bersama kerana tidak mendapat kebenaran daripada bapa mereka. Nabi Yusuf telah menghalang pembelian gandum berlebihan tanpa bukti. Baginda meminta mereka kembali bersama adiknya sebagai bukti. Hal ini kerana jauh di sudut hati baginda ingin berjumpa dengan Binyamin kerana merindui adiknya itu.
21) 10 beradik tersebut pun pulang kepada nabi Yaakub dan memujuk bapanya untuk membenarkan Binyamin mengikut mereka. Nabi Yaakub yang masih menanti kepulangan nabi Yusuf sangat takut baginda akan kehilangan Binyamin pula. Selepas pujuk memujuk, akhirnya nabi Yaakub memberi kepada Binyamin. Baginda menasihatkan anak-anaknya untuk berpecah dan memasuki Mesir dari laluan berbeza [Rujuk al-Quran (12:67)] kerana anak-anak nabi Yaakub semuanya mempunyai rupa yang tampan. Jika mereka masuk bersama-sama, bimbang akan menarik perhatian orang ramai dan perkara tidak elok akan berlaku.
22) Apabila mereka kembali ke Mesir bersama Binyamin, nabi Yusuf menyambut mereka dengan sangat baik. Nabi Yusuf menjemput mereka makan dan bermalam di istananya. Baginda menyediakan 1 bilik untuk 2 orang dan mengajak Binyamin tidur di biliknya. Apabila tinggal nabi Yusuf dan Binyamin berdua, baginda memeluk rindu adiknya dan berkata, “Aku abangmu.”
23) Nabi Yusuf merancang untuk memberi pengajaran kepada abang-abangnya. Keesokan hari, sebelum 11 beradik itu pulang ke Palestin, nabi Yusuf memasukkan mangkuk penyukat diraja ke dalam beg Binyamin. Apabila pengawal istana memeriksa beg mereka, terjumpa alat penyukat tersebut. Abang-abang mereka berkata, “Tidak mustahil Binyamin mencuri kerana abangnya dahulu pun pernah mencuri.” Nabi Yusuf masih mengawal keadaan supaya tidak diketahui baginda adalah abang Binyamin. Kemudian, baginda memutuskan untuk tidak membenarkan Binyamin pulang kerana akan dihukum mencuri. Abang-abang mereka terus merayu keoada nabi Yusuf untuk melepaskan Binyamin kerana risaukan bapa mereka yang sudah tua itu akan menjadi lebih sedih. Mereka berkata, “Hukumlah kami tetapi jangan diambil adik kami.” Abang sulung mereka menyuruh yang lain pulang terlebih dahulu kerana tidak sanngup mengecewakan bapanya buat kali kedua. Maka 9 beradik itu pun pulang ke Palestin.
24) Apabila yang lain pulang tanpa abang dan adik, mereka menceritakan kepada bapanya bahawa Binyamin telah mencuri, nabi Yaakub yang sedang bersedih itu bertambah sedih. Baginda terlalu banyak menangis sehingga matanya menjadi putih dan buta. Baginda berkata, “Kini aku kehilangan 3 orang anak.” Anak-anaknya tidak puas hati kerana bapa mereka selalu teringatkan nabi Yusuf yang telah lama hilang itu. Nabi Yaakub percaya janji Allah itu pasti. Mimpi nabi Yusuf semasa baginda kecil belum menjadi kenyataan maka baginda masih menantikan nabi Yusuf untuk melihat mimpinya menjadi kenyataan. Nabi Yaakub meminta anak-anaknya berjanji untuk mengumpulkan semula kesemua adik beradik mereka.
25) Mereka pun pergi semula ke Mesir dengan barang-barang yang ada. Mereka dan abang sulungnya berjumpa dgn nabi Yusuf dan berkata, “Wahai Al-Aziz, ambillah harta kami yang tidak seberapa ini dan pulangkan adik kami.” Nabi Yusuf pun berkata, “Sekarang kamu merayu padaku? Kamu semua ingat apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya suatu ketika dahulu? Kamu telah memisahkan mereka.” Abang-abangnya terkejut dan bertanya, “Adakah kamu Yusuf?” Mereka melihat nabi Yusuf telah menjadi orang yang sangat berjaya, sebagai pembesar negara! Kemudian mereka meminta maaf atas kesalahan mereka yang lalu.
26) Nabi Yusuf berkata, “Aku tidak akan menyalahkan kamu hari ini. Semoga Allah mengampuni kamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun.” - rujuk al Quran (12:92).
27) Selepas mereka menceritakan keadaan bapa mereka di rumah, nabi Yusuf berikan bajunya kepada abang-abangnya untuk disapukan ke muka bapa mereka. Kemudian baginda meminta mereka membawakan ibu bapanya ke Mesir. Mereka semua dijemput untuk tinggal bersama nabi Yusuf di Mesir.
28) Dalam perjalanan pulang ke Palestin, nabi Yaakub dapat merasakan bahawa nabi Yusuf sedang kembali kepadanya. Kaum nabi Yaakub mengatakan nabi Yaakub sangat obsesi kerana sering mengharapkan nabi Yusuf pulang. Apabila anak-anaknya pulang dan menyapukan baju nabi Yusuf ke muka nabi Yaakub, penglihatannya kembali pulih. Itulah mukjizat Allah. Kemudian mereka sekeluarga pun pergi ke Mesir semula.
29) Sampai di Mesir, nabi Yusuf menyambut keluarganya di istana. Baginda sangat gembira melihat kedua ibu bapanya yang sangat dirindui. Nabi Yusuf pada masa itu telah menjadi seorang yang berkuasa dalam negara, kaya-raya dan sangat rupawan. Baginda membawa ibu dan bapanya duduk di sebelahnya di atas takhta. Mereka semua sangat gembira. Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayah, inilah maksud mimpiku semasa aku kecil. Maha Pencipta sudah memakbulkan mimpiku!” Nabi Yusuf berdoa kepada Allah untuk mati dalam Islam dan digolongkan dalam golongan orang-orang yang benar.


1) Nabi Ayub lahir dari keturunan nabi Ishak dan isterinya, Rahma lahir dari keturunan nabi Yusuf. Ibu nabi Ayub pula lahir dari keturunan nabi Luth. Ini menunjukkan mereka semua adalah daripada keturunan nabi Ibrahim atau dipanggil ‘The House of Abraham’ oleh orang inggeris. Nabi Ayub dikurniakan dengan kekayaan, tubuh badan yang sihat, anak yang ramai, keimanan yang teguh dan baginda sangat dihormati oleh kaumnya. Apabila baginda berdakwah, semua orang akan berebut untuk mendengar bahkan semua orang mahu mendampinginya.
2) Ditakdirkan nabi Ayub ditimpa ujian Allah satu persatu. Pertama, Allah menarik kembali kekayaannya. Segala harta, rumah, haiwan ternakan, semuanya musnah dan hilang. Nabi Ayub jatuh miskin dengan sekelip mata. Kemudian Allah tarik semula zuriatnya. Nabi Ayub mempunyai ramai anak namun satu persatu anaknya mati di hadapan matanya sehingga tidak ada lagi anak yang hidup. Setiap kali anaknya meninggal, baginda cuma berkata, “Segalanya milik Allah dan setiap manusia akan pulang kepada-Nya.” Kemudian Allah tarik pula kesihatannya. Nabi Ayub jatuh sakit yang amat teruk sehinggakan tinggal lidah baginda sahaja yang boleh bergerak dan baginda menggunakan untuk memuji Allah. Organ dalamannya menjadi rosak dan baginda mendapat penyakit kulit yang merosakkan kulit di seluruh badannya sehingga rupanya susah untuk dikenali. Disebabkan penyakit kulitnya, orang ramai mula menjauhinya sehingga tidak ada lagi yang ingin mendampinginya. Nabi Ayub sangat penyabar. Walaupun satu persatu ujian datang melanda, hatinya tetap teguh beriman kepada Allah. Nabi Ayub tidak pernah merungut atau meminta Allah hilangkan kesengsaraannya, baginda sangat sabar dan menerima sahaja ketentuan Allah.
3) Nabi Ayub kehilangan segalanya kecuali satu iaitu isterinya. Rahma bersama-sama mengharungi segala ujian yang ditimpa suaminya dan menjaga suaminya ketika sakit. Dia menghabiskan hartanya untuk membeli ubat-ubatan dan makanan buat suaminya. Apabila duitnya juga telah habis, dia terpaksa mencari kerja. Semua orang tahu tentang penyakit nabi Ayub. Apabila Rahma pergi mencari kerja, mereka enggan menerimanya kerana takut berjangkit penyakit kulit nabi Ayub. Tidak ada sorang pun yang mahu mahu mengambil dia bekerja. Rahma sedih dan mengeluh kepada nabi Ayub. Dia bertanya, “Sampai bila kita mahu seperti ini?” Nabi Ayub bertanya, “Berapa lama telah aku hidup dalam kesenangan?” Rahma menjawab, “80 tahun.” Nabi Ayub bertanya lagi, “Dan berapa lama telah aku hidup dalam kesusahan?” Rahma menjawab, “7 tahun.” Kemudian Nabi Ayub membalas, “Maka bagaimana aku mahu mengeluh jika kesengsaraanku amat kecil berbanding kesenangan yang telah Allah berikan kepada aku? Aku berjanji, apabila aku sihat nanti aku akan merotanmu sebanyak 100 kali”. Nabi Ayub marah kerana isterinya mengeluh dengan ketentuan Allah.
4) Makin hari, Rahma menjadi semakin terdesak mencari duit. Dia perlukan duit untuk membeli makanan dan ubat untuk suaminya. Rahma membuat keputusan untuk memotong rambutnya yang panjang dan menjualnya. Maka daripada duit yang sikit itu dapatlah dia membeli makanan untuk suaminya. Apabila nabi Ayub bertanya dari mana dia mendapatkan duit, Rahma takut untuk memberitahu perkara sebenar kerana dia tahu suaminya akan marah. Maka Rahma mengatakan bahawa dia bekerja dan mendapat upah. Rambutnya adalah satu-satunya harta yang tinggal maka dia membotakkan sebahagian kepalanya sedikit demi sedikit dan menjual rambutnya. Nabi Ayub tidak sedar akan keadaan rambut isterinya kerana dia sentiasa menutupi kepalanya. Sehingga satu hari, Rahma terpaksa membotakkan seluruh kepalanya untuk membeli makanan buat suaminya. Kali ini, nabi Ayub bertegas untuk mengetahui dari mana Rahma mendapatkan duit kerana baginda tahu bahawa orang ramai enggan mengambilnya bekerja. Rahma membuka kain di kepalanya dan menunjukkan kepalanya yang sudah botak.
5) Selepas nabi Ayub melihat keadaan isterinya, akhirnya baginda berdoa kepada Allah untuk meminta pertolongan - Rujuk al Quran (21:83). Allah menurunkan wahyu kepada nabi Ayub yang terlantar sakit itu untuk menghentakkan kakinya ke tanah. Apabila nabi Ayub menghentak kakinya, keluar memancut air yang sejuk dari bawah tapak kakinya untuk nabi Ayub minum dan mandi - Rujuk al Quran (38:42). Selepas nabi Ayub meminum air yang sejuk itu, semua organ dalamannya kembali pulih dan kulitnya diganti dengan kulit yang baru. Kesihatannya kembali pulih, malah lebih sihat dari sebelumnya. Apabila Rahma pulang, nabi Ayub tiada di tempat biasa lalu dia mencari suaminya. Apabila nabi Ayub datang kepada isterinya, Rahma tidak mengenali rupa suaminya kerana sudah terlalu lama sakit sehingga dia lupa rupa asal suaminya. Dia pun bertanya kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu ada ternampak suaminya atau tidak. Nabi Ayub berkata, “Ini aku, Ayub, suamimu. Allah telah mengurniakan aku kesihatan.”
6) Allah telah menurunkan ujian ke atas nabi Ayub untuk menguji kesabaran dan keimanannya. Sebagai ganjaran, Allah mengurniakan kepada nabi Ayub zuriat dua kali ganda lebih ramai dari sebelumnya - Rujuk al Quran (38:43). Dan sebuah hadis ada menceritakan, ketika nabi Ayub sedang mandi, Allah menurunkan belalang emas dari syurga menghujani tempat mandinya. Nabi Ayub mengumpulkan belalang emas itu dan bersyukur ke atas kurniaan Allah.
7) Kegembiraan kembali keoada nabi Ayub. Namun baginda ada satu lagi perkara yang belum selesai. Baginda telah bernazar untuk merotan isterinya sebanyak 100 kali. Allah menurunkan wahyu kepada nabi Ayub untuk mengumpulkan 100 batang lalang dan merotan isterinya sebanyak satu kali, dan hutang nazarnya akan selesai - Rujuk al Quran (38:44). Maka nabi Ayub pun merotan Rahma sebanyak satu kali menggunakan 100 batang lalang. Sampai tahap itu Allah kasih dan bantu nabi Ayub.
8 ) Pengajaran yang boleh diambil adalah seteruk mana pun keadaan hidup kita, bersabarlah. Allah sedang menguji kita. Dan ganjaran untuk sabar itu sangatlah besar, hanya tunggu dan lihat.


1) Nabi Shuaib tinggal di kota Madyan, di mana penduduknya sangat bijak dalam perniagaan. Disebabkan mereka ahli perniagaan, mereka sentiasa berfikir cara untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan soal undang-undang. Korupsi sana sini.
2) Kaum Madyan juga dikenali dengan kepercayaan mereka yang menyembah sebuah pokok yang digelar Al-Ayka. Oleh kerana penyembahan pokok ini, nama lain bagi kaum Madyan ialah kaum Ayka.
3) Kaum Madyan ini suka menipu dalam perniagaan. Antara contoh penipuan yang biasa dilakukan adalah mereka menipu timbangan - contohnya mereka mengenakan harga 3 kilo gandum tetapi menipu dengan hanya memberi 2 kilo sahaja. Mereka mencampurkan air ke dalam susu supaya menjadi banyak kemudian dijual susu tersebut. Mereka mengenakan cukai kepada setiap orang yang lalu atau singgah di kota mereka. Mereka memaksa kaum nabi Shuaib untuk ‘bend the rules’ dan ikut peraturan mereka dan banyak lagi.
4) Nabi Shuaib berusaha mengajak kaum Madyan kembali ke jalan Allah. Nabi Shuaib berkata, “Sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi seseorang sesuatu yang menjadi haknya. Dan jangan lah membuat kerosakan di muka bumi kerana Allah telah menjadikannya sebaik-baiknya.” - Rujuk al Quran (7:85). Dan jangan lah kamu duduk di setiap jalan dan mengugut atau menghalang orang daripada beriman kepada Allah, dan kamu mahu mereka untuk membengkokkan peraturan Allah untuk mengikut peraturan kamu pula. Ingatlah semasa bilangan kamu sedikit, Allah telah menggandakan bilangan kamu sehingga menjadi ramai.” (7:86)
5) Selepas nabi Shuaib mengajak mereka untuk kembali ke jalan Allah, baginda pula diajak untuk menyertai mereka membuat pelaburan kerana mereka boleh menjadikan nabi Shuaib kaya. Baginda berkata kepada mereka, “Walaupun hartaku tidak sebanyak kekayaan kamu namun harta yang aku ada ini halal. Jika kamu fikir kamu boleh membeli aku dengan kekayaan, kamu salah. Tujuanku hanyalah untuk berbuat sebanyak mungkin kebaikan.”
6) Nabi Shuaib terus-terusan berdakwah namun kaum Madyan membenci dengan tawaran nabi Shuaib yang mengajak mereka untuk berniaga secara jujur dan menggunakan harta untuk kebaikan. Mereka merasakan nabi Shuaib ini bagaikan menjaga tepi kain orang. Mereka mahu menikmati harta kekayaan itu ke arah kemaksiatan dan mereka percaya bahawa agama dengan perniagaan tidak ada kaitan. Mereka berkata, rugilah sesiapa yang ikut nabi Shuaib - Rujuk al Quran (7:90).
7) Nabi Shuaib berpesan kepada kaum Madyan untuk takut kepada hukuman Allah dan mengingatkan mereka tentang apa yang terjadi kepada kaum Ad, kaum Thamud dan paling dekat dengan mereka ketika itu, kaum Luth. Nabi Shuaib juga mengingatkan kembali bagaimana Allah telah menghancurkan mereka. Nabi Shuaib berkata, “Bertaubatlah sebelum terlambat! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.” - Rujuk al Quran (11:90).
8 ) Kaum Madyan menjawab kepada nabi Shuaib, “Kami rasa kau sama sahaja seperti kami. Tidak kuat malah tiada yang istimewa pun. Kami tidak hormat pada kau. Jika bukan disebabkan keluarga dan pengikut kau, sudah lama kami rejam kau sehingga mati.” Nabi Shuaib mempunyai ramai pengikut. Jika mereka membunuh nabi Shuaib, pengikutnya akan memberontak dan perniagaan mereka akan lingkup. Kemudian mereka mencabar nabi Shuaib, “Jika kau benar nabi yang diutuskan Tuhan, minta sahaja Tuhan kau hukum kami!” Nabi Shuaib tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama seperti kisah nabi-nabi sebelum ini, apabila sesebuah kaum itu mencabar kekuasaan Tuhan, maka sampai disitu sahaja. Oleh itu, nabi Shuaib pun berdoa, “Wahai Tuhan kami, hukumlah antara kami dan kaum kami dengan keadilan, kerana Engkau sebaik-baik Hakim.” - Rujuk al Quran (7:89).
9) Kemudian Allah menurunkan kemurkaan-Nya yang amat menyeksakan. Allah datangkan cuaca panas yang melemaskan. Kaum Madyan tidak dapat bernafas dalam kepanasan yang kurang udara itu. Mereka bagaikan mendidih akibat kepanasan yang amat sangat. Kemudian dalam kepanasan itu, Allah datangkan sebuah awan. Mereka berlari-lari ke bawah awan itu untuk berteduh namun mereka tidak tahu apa yang Allah akan turunkan daripada awan tersebut. Allah menurunkan bunyi Al-Saihah yang terlalu kuat seperti letupan sehingga menggoncang bumi di bawah awan tadi. Lalu matilah seluruh kaum Madyan dan jadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. - Rujuk al Quran (11:94).
10) Sebelum itu, Allah telah menyelamatkan Nabi Shuaib dan pengikutnya. Apabila nabi Shuaib kembali ke Madyan dan melihat apa yang telah terjadi, baginda berkata, “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu).” - Rujuk al Quran (7:93).
11) Seperti kaum Ad, kaum Thamud dan kaum Luth, binasalah kaum Madyan akibat mencabar kemurkaan Allah. Betapa bijaknya kita rasa kita ini sehingga boleh memutar belit undang-undang namun ingatlah Allah itu jauh lebih bijaksana dan Allah sentiasa memerhati.


11) Nabi Musa digelar Kalimullah yang bermaksud ‘orang yang bercakap dengan Allah’ kerana nabi Musa seorang nabi yang sangat istimewa yang sering bercakap dengan Allah. Warna kulit nabi Musa tidak cerah, agak gelap. Mempunyai rambut yang tebal dan badannya sasa dan baginda sangat kuat sehingga digambarkan tumbukan baginda boleh menyebabkan seseorang itu mati walau dengan hanya sekali tumbukan. Bukan itu saja, pertutura. nabi Musa tidak berapa jelas kerana baginda gagap. Nabi Musa lahir dari kalangan Bani Israel.
12) Siapakah Bani Israel? Bani Israel berasal daripada keturunan 12 orang anak nabi Yaakub (salah seorangnya nabi Yusuf) yang tinggal di Palestin, betul-betul di sebelah Mesir. Nabi Yaakub sebenarnya mempunyai dua nama, Yaakub dan Israel. Oleh itu, mereka mengambil nama Israel itu untuk dijadikan nama kelompok atau etnik mereka. Jika dilihat dalam kisah nabi Yusuf ada menceritakan bahawa nabi Yusuf telah mengajak keluarganya untuk tinggal di Mesir. Maka Bani Israel ini bukan sahaja tinggal di Palestin namun di Mesir juga. Beberapa generasi selepas itu, lahirlah nabi Musa. Namun ketika nabi Musa lahir, Bani Israel tidak ramai sekadar 600,000 orang sahaja jika dibandingkan dengan rakyat Mesir yang berjuta-juta orang ramainya.
13) Pada satu zaman itu, Mesir diperintah oleh seorang firaun yang kaya, kejam dan menganggap dirinya tuhan. Rakyat Mesir dipaksa menyembahnya. Satu hari, firaun telah bermimpi api marak telah datang dari Baitul Maqdis di Palestin menuju ke Mesir dan membakar semua rumah di Mesir kecuali rumah orang-orang Bani Israel. Firaun jadi tidak keruan dan memanggil semua ahli tilik dan penasihatnya untuk mentafsir mimpinya. Ahli tilik mentafsirkan bahawa akan lahir seorang bayi lelaki berketurunan Bani Israel dan suatu hari nanti firaun akan mati di tangan bayi lelaki itu. Firaun terus membuat undang-undnag baru iaitu setiap kali Bani Israel melahirkan bayi lelaki, bayi itu mesti dibunuh. Maka firaun menghantar askarnya untuk menggeledah rumah Bani Israel dan membunuh semua kanak-kanak lelaki. Askarnya akan membuat ‘pembersihan’ itu setiap 2 tahun.
14) Ibu nabi Musa pada masa itu sedang hamil. Sepanjang 9 bulan, dia mengelak daripada berjumpa dengan orang dan hanya duduk di rumah, bimbang jika diketahui orang bahawa dia sedang mengandung. Apabila lahirnya nabi Musa, dia sangat sedih dan risaukan nyawa anaknya. Allah telah mengilhamkan kepada ibu nabi Musa untuk menyusukan bayinya sehingga kenyang dan hanyutkan bayi itu di sungai. Allah telah berjanji kepada ibu nabi Musa akan bertemu kembali dengan bayinya. Maka si ibu memasukkan bayinya ke dalam sebuah kotak dan menghanyutkan kotak itu di sungai. Ibunya menyuruh kakak kepada nabi Musa untuk melihat ke mana kotak itu pergi kerana bimbang kotak itu hanyut ke arah orang yang akan membunuhnya. Kakak nabi Musa pun berlari-lari mengikut kotak tersebut sehingga setakat mana yang boleh dilihat.
15) Takdir Allah, kotak itu hanyut ke istana firaun dan ditakdirkan juga yang menjumpai bayi itu adalah isteri firaun. Apabila melihat muka bayi itu, timbulnya rasa sayang dan disebabkan mereka tidak mempunyai anak sendiri, isteri firaun memutuskan untuk membelanya seperti anak sendiri. Firaun semestinya tidak membenarkan kerana dia telah mengarahkan askarnya untuk membunuh semua bayi lelaki Bani Israel tetapi di istananya sendiri ada bayi lelaki Bani Israel. Lihat warna kulit bayi itu sahaja telah menunjukkan ia daripada Bani Israel. Isteri firaun berdegil dan mengatakan bahawa bayi itu membuatkan dia gembira dan tidak mungkin bayi ini boleh berbuat apa-apa pada firaun. Firaun amat cintakan isterinya dan melihat isterinya begitu bahagia, dia pun terpaksa membiarkan bayi itu membesar di istananya, tanpa menyedari bahawa satu hari nanti bayi itulah yang akan menjadi musuhnya.
16) Firaun mengupah ramai ibu susuan di Mesir untuk menyusukan Musa namun Musa menolak kesemuanya. Allah telah menghalang Musa dari menyusu dari perempuan-perempuan itu. Semakin lama bayi itu semakin lemah dan firaun telah menghantar orang-orangnta untuk mencari lagi perempuan yang boleh menjadi ibu susuan. Berita telah sampai kepada keluarga nabi Musa dan ibunya telah dibawa ke istana. Nabi Musa pun meminum susu ibunya. Firaun berasa pelik dan bertanya, “Kenapa dia minum dari kamu? Siapa kamu?” dan ibu Musa berkata, “Susu aku manis, tidak ada bayi yang pernah menolak susu badanku.” Di sini Allah telah menunaikan janjinya untuk mempertemukan semula nabi Musa dengan ibunya namun tidak ada sesiapa pun yang tahu. Malah Allah melindungi ibu nabi Musa kerana setiap kali dia keluar masuk istana, sentiasa ada yang mengiringinya.
17) Nabi Musa membesar dengan sempurna di dalam istana dan di saat orang ramai menyembah firaun walaupun mereka tidak pernah berjumpa dengannya, nabi Musa mengetahui bahawa l firaun itu hanya manusia biasa dan tidak layak disembah. Dalam hati baginda sentiasa tahu bahawa Allah satu-satunya tuhan yang layak disembah. Pada suatu petang, nabi Musa sedang berjalan di kota Mesir dan terserempak dengan dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Seorang daripada Bani Israel dan seorang lagi orang Mesir. Nabi Musa cuba untuk meleraikan pergaduhan itu namun secara tidak sengaja baginda telah menumbuk lelaki Mesir itu dan lelaki tersebut terus mati secara langsung. Nabi Musa berkata, “Ini kerja syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang menyesatkan” - Rujuk al Quran (28:15). Dalam pada itu, nabi Musa melarikan diri kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa. Sudahlah selama 18 tahun orang Mesir berdendam dengannya kerana baginda satu-satunya Bani Israel yang tinggal di dalam istana. Terutamanya firaun yang hanya menunggu untuk menghalaunya dari istana. Apabila nabi Musa melakukan satu sahaja kesilapan, itulah peluang mereka untuk membalas dendam kepadanya.
18 ) Keesokan harinya, sedang nabi Musa melarikan diri, baginda terserempak lagi dengan lelaki Bani Israel tersebut sedang bergaduh dengan lelaki lain pula. Nabi Musa tidak berpuas hati kerana lelaki itu selalu mencetuskan pergaduhan dan disebabkan lelaki itu juga baginda telah terbunuh seseorang tanpa sengaja. Nabi Musa menarik baju lelaki itu dan hampir menumbuknya kemudian lelaki itu pun berkata, “Tunggu dulu! Kau nak bunuh aku seperti kau bunuh lelaki semalam?!” Disebabkan itu, orang ramai telah mengetahui bahawa nabi Musa telah membunuh seseorang. Nabi Musa pun melepaskan lelaki tadi. Tiba-tiba datang seorang pegawai istana yang rapat dengan nabi Musa dan memberitahu bahawa orang Mesir telah mula mencari baginda dan dia menasihatkan nabi Musa untuk melarikan diri. Nabi Musa menjadi takut dan berdoa kepada Allah untuk melindunginya - Rujuk al Quran (28:21).
19) Nabi Musa terus melarikan diri ke Madyan, kota nabi Shuaib. Baginda berjalan beratus-ratus kilometer tanpa henti sehingga koyak kasutnya. Baginda tidak mempunyai makanan, sekadar memakan daun-daun sehingga bibirnya menjadi hijau. Baginda sampai di Madyan dengan tidak berkasut, kelaparan dan kepenatan. Kemudian baginda terjumpa telaga air di mana orang-orang lelaki Madyan berkumpul untuk mengambil air bagi kambing biri-biri mereka. Jauh di belakang, baginda ternampak dua orang gadis. Nabi Musa pergi kepada mereka dan bertanya, “Mengapa dengan kamu berdua?” Mereka berkata mereka sedang menunggu giliran untuk mengambil air bagi ternakan mereka. Mereka tidak dapat meminta bantuan orang lelaki dalam keluarga mereka kerana bapa mereka sudah tua - Rujuk al Quran (28:23). Apabila melihat pada keadaan, barangkali mereka tidak akan dapat air tersebut kerana mereka hanyalah dua gadis, susah untuk berebut dengan lelaki. Oleh itu nabi Musa membantu mereka mengambil air.
110) Salah seorang gadis tadi berjalan malu dan berkata bapa mereka ingin membalas budinya. Nabi Musa menjaga pandangan daripada melihat gadis tersebut dan meminta mereka untuk mengikutnya di belakang dan menunjukkan jalan. Sejak mula nabi Musa memulakan perjalanannya dari Mesir, baginda terus-terusan berdoa kepada Allah untuk mengampunkan dosanya dan meminta Allah permudahkan segalanya. Dan satu persatu Allah bantu dan berjumoa dengan dua orang gadis adalah salah satu daripada bantuan Allah. Nabi Musa ceritakan kepada bapa gadis tadi iaitu nabi Shuaib tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan nabi Shuaib pun berkata, “Jangan kamu risau, sekarang kamu sudah selamat dari kaum yang zalim itu.” - Rujuk al Quran (28:25). Gadis-gadis tadi mencadangkan kepada nabi Shuaib untuk mengambil nabi Musa bekerja kerana mereka perlukan tenaga kerja yang gagah perkasa dan amanah - Rujuk al Quran (28:26). Nabi Shuaib melamar nabi Musa untuk berkahwin dengan salah seorang anak perempuannya, dengan syarat baginda perlu bekerja mengembala kambing ternakan keluarga itu sekurang-kurangnya 8 tahun sebagai mas kahwin - Rujuk al Quran (28:27).
111) Setelah selesai perjanjian 8 tahun itu, nabi Musa pun berkahwin dengan salah seorang gadis tadi dan membawa isterinya pulang ke Mesir. Pada satu malam, semasa dalam perjalanan, nabi Musa terlihat ada api yang sangat terang di atas gunung Tursina. Baginda sangat tertarik untuk pergi melihatnya. Hanya nabi Musa sahaja yang dapat melihat. Cahaya api itu seolah-olah panggilan khas untuk nabi Musa. Baginda meminta keluarganya untuk tunggu di bawah sementara baginda berlari panjat ke atas gunung malah baginda berkata bahawa baginda akan membawa turun sedikit api itu untuk keluarganya. Nabi Musa pun panjat dan panjat dan panjat sampai ke atas - Rujuk al Quran (28:29).
112) Tiba-tiba terdengar satu suara, “Wahai Musa, sesungguhnya Aku Allah Tuhan sekalian alam.” - Rujuk al Quran (28:30). Jika dikaji lenggok bahasa ayat Quran ini, kita boleh rasakan perasaan nabi Musa pada ketika itu. Baginda sangat terkejut, takut, gementar. Tuhan yang sentiasa di minta bantuan dalam doa sepanjang hidupnya telah bercakap secara langsung dengannya! Kemudian Allah bertanya, “Apa di tanganmu?” Jika diikutkan, Allah itu Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang nabi Musa sedang pegang. Tujuan Allah bertanya adalah untuk menenangkan nabi Musa yang sedang dalam keadaan terkejut. Nabi Musa menjawab, “Ini tongkatku. Kadang aku bersandar kepadanya. Aku gunakan ia untuk memukul lalang. Dan ada banyak lagi perkara yang aku buat dengan tongkat ini”. Nabi Musa menjawab panjang kerana baginda teruja. Bukan selalu dapat bercakap dengan penciptanya dan baginda menjawab panjang dengan harapan dapat berbual dengan lebih lama. Kemudian Allah mengarahkan, “Campakkan tongkatmu”. Tanpa berlengah, nabi Musa terus mencampak tongkat itu dan secara tiba-tiba tongkat itu terus bertukar menjadi ular yang sangat besar dan bergerak laju. Nabi Musa yang baru sahaja bertenang tadi terus ketakutan! Kemudian Allah berkata lagi, “Ambil ular itu dan jangan takut.” - Rujuk al Quran (28:31). Maka nabi Musa terus memegang ular itu dan ia kembali menjadi tongkat. Mengapa Allah melakukan semua ini kepada nabi Musa? Kerana Allah ingin baginda menjadi berani dan sentiasa percayakan bantuan Allah. Kemudian Allah memerintahkan nabi Musa untuk berdepan dengan firaun yang zalim untuk bertaqwa kepada Allah. Kemudian nabi Musa meminta kepada Allah kalau baginda boleh membawa saudaranya Harun untuk bertutur bagi pihaknya (nabi Harun kekuatannya adalah pandai bercakap). Allah berkata, “Pergilah kamu berdua bersama ayat-ayat keterangan Kami, kamu berdua serta pengikutmu akan beroleh kemenangan.” - Rujuk al Quran (28:35). Allah mengizinkan nabi Musa untuk membawa nabi Harun bersama. Allah memberi kepastian bahawa mereka akan menang.
113) Nabi Musa dan nabi Harun memasuki Mesir dan terus dibawa mengadap firaun. Setelah sekian lama, akhirnya dapat juga firaun menangkap dan bercakap dengan nabi Musa. Nabi Musa dan nabi Harun perdengarkan ayat-ayat keterangan Allah kepada firaun dan berdakwah kepadanya untuk beriman kepada Allah. Firaun menolak dan berkata tiada tuhan lain yang lebih agung dari dirinya. Firaun berkata kepada menterinya, Haman untuk membina bangunan batu bata yang tinggi supaya dia dapat melihat tuhan Musa - Rujuk al Quran (28:38). Itulah asalnya pembinaan piramid di Mesir. Firaun mencabar nabi Musa untuk menunjukkan kekuasaan Tuhannya. Nabi Musa mencampakkan tongkatnya dan ia bertukar menjadi ular yang sangat besar dan panjang sehinggakan lidahnya boleh mencecah siling istana. Orang ramai berteriak ketakutan. Firaun pun berkata, “Sihir! Ini hanyalah sihir!” Kemudian firaun memanggil semua ahli sihir di Mesir untuk menyaingi Musa. Persaingan itu ditetapkan pada hari perayaan Mesir di tengah kota, di mana orang ramai akan berkumpul untuk menyaksikan acara tersebut.
114) Pada hari persaingan antara ahli sihir itu, ada 70 ahli sihir yang datang. Secara serentak, mereka mencampakkan tongkat mereka dan tongkat itu bertukar menjadi ular kecil. Seluruh kota menjerit ketakutan. Bagi mereka itu sudah cukup hebat. Kemudian nabi Musa mencampakkan tongkatnya yang bertukar menjadi ular yang paling besar di situ dan ia memakan semua ular kecil yang ada. Semua yang melihat terkejut dan menjadi takut. Firaun turut menyaksikan kejadian itu. Semua ahli sihir menjadi takut dan berkata, “Itu bukanlah sihir! Itu sesuatu yang lain. Kuasa yang lebih agung. Kami akan mengikut ajaran Musa dan beriman dengan Tuhannya!” Kemudian ramai orang Mesir juga turut beriman kepada Allah. Firaun tidak berpuas hati dan berkata bahawa semua ahli sihir menipu dan mereka dari awal lagi sudah berkonspirasi dengan nabi Musa untuk menipunya.
115) Firaun berkata, “Berani kamu beriman kepada Allah sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya nabi Musa itu ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; maka tahulah kamu akibatnya nanti. Aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semua!” - Rujuk al Quran (26:49). Ahli-ahli sihir dan rakyat Mesir yang baru sahaja dapat hidayah Allah itu pun membalas, “Kami tidak takut dengan ugutanmu! Kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.” - Rujuk al Quran (26:50). Kemudian kesemua mereka yang sudah beriman dengan Allah ditangkap, dipotong kaki, dipalang dan dibunuh. Selepas kejadian itu, untuk mengelakkan nabi Musa dan pengikutnya untuk terus menggoyahkan takhta firaun, tentera firaun dikerah untuk membunuh setiap anak lelaki dari Bani Israel dan membiarkan wanita mereka hidup. Dan firaun meminta nabi Musa juga dibunuh kerana takut akan lebih ramai orang yang menjadi pengikutnya.
116) Kemudian datang seorang ahli keluarga firaun yang dalam diam telah beriman kepada Allah. Dia cuba menasihatkan firaun dan untuk tidak membunuh nabi Musa. Dia berkata, “Kau bersusah mahu menbunuh seorang lelaki hanya kerana dia berkata Allah itu tuhannya? Biarkan dia hidup. Jika dia menipu, penipuannya akan memakan dirinya sendiri. Tapi jika dia berkata benar dan kau pula membunuhnya, habislah kau nanti.” Maka firaun dan penasihatnya memutuskan untuk tidak membunuh nabi Musa.
117) Pada waktu ini, Bani Israel sudah semakin hilang semangat. Mereka tertekan kerana semakin ramai orang mereka dibunuh. Nabi Musa berkata, "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa" - Rujuk al Quran (7:128). Kemudian mereka berkata kepada nabi Musa, “Apa bezanya? Sebelum kau datang kepada kami, firaun menyeksa kami dengan membunuh bayi kami kerana tidak mahu kau lahir ke dunia. Dan selepas kau datang kepada kami, firaun masih menyeksa kami dengan membunuh anak-anak lelaki kami, juga disebabkan kau.” Nabi Musa pun menenangkan mereka dengan berkata, “Allah akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi. Tengoklah nanti.” - Rujuk al Quran (7:129).
118) Kemudian Allah menurunkan satu persatu hukuman ke atas firaun dan pengikutnya. Pertama, Allah menurunkan kemarau yang amat dahsyat. Ladang tanaman rakyat Mesir tidak berbuah tetapi ladang Bani Israel berbuah seperti biasa. Kemudian orang Mesir berjumpa dengan nabi Musa dan berkata, “wahai ahli sihir, minta dari tuhanmu untuk hilangkan kemarau ini. Jika hilang kemarau ini, kami akan beriman dengan tuhanmu.” Maka nabi Musa pun berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kemarau di Mesir. Setelah cuaca Mesir kembali normal, orang Mesir tidak beriman pun kepada Allah, malah ketawakan nabi Musa sambil berkata, siapa suruh percaya kami? Kemudian Allah menurunkan pula bencana banjir. Habis musnah semua rumah rakyat Mesir dilanda banjir namun rumah Bani Israel tidak terkesan langsung. Orang Mesir memanggil nabi Musa lagi, “Minta pada tuhan kau untuk menghilangkan banjir ini, kali ini kami tidak akan mungkir janji untuk beriman kepadanya.” Maka nabi Musa pun berdoa kepada Allah. Setelah banjir surut, orang Mesir enggan juga beriman kepada Allah dan tertawakan nabi Musa sekali lagi. Kemudian Allah menurunkan berjuta belalang perosak sehinggakan waktu siang menjadi gelap kerana terlalu banyak belalang berterbangan menutupi langit. Sekali lagi mereka meminta nabi Musa menghilangkan bencana itu dan tetap tidak beriman kepada Allah. Kemudian Allah menurunkan malapetaka kutu. Berjuta kutu menyerang orang Mesir dan membawa penyakit kutu. Sekali lagi mereka meminta nabi Musa untuk menghilangkan malapetaka itu dan setelah hilang, mereka tetap tidak beriman kepada Allah. Kemudian Allah datangkan pula malapetaka katak. Katak di dalam rumah, luar rumah, dalam makanan, bantal, baju, penyakit katak, hujan katak, segalanya katak. Begitu juga, mereka meminta tolong nabi Musa dan setelah malapetaka itu hilang, enggan beriman kepada Allah. Dan akhirnya, Allah menurunkan malapetaka darah. Setiap kali orang Mesir mahu menyentuh air, air itu bertukar menjadi darah. Apabila mereka mahu minum, terminum darah. Mahu mandi, mandi darah. Sehingga kehidupan harian mereka bergelumang dengan darah. Sepanjang hukuman Allah ini, Bani Israel tidak terkena satu pun. Merek hidup seperti biasa ditengah rakyat mesir yang sedang hidup huru hara. Kemudian sama seperti ini, mereka meminta tolong daripada nabi Musa dan setelah malapetaka itu hilang, mereka mungkir janji untuk beriman kepada Allah.
119) Raja-raja Mesir zaman dahulu mereka sentiasa berhias dengan segala jenis barang kemas - emas, intan, berlian, batu permata - diatas kepala mereka tidak sah jika tidak bertakhtakan emas. Dan mereka mengikat hamba-hamba abdi dan mengerah mereka membina piramid dan segala benda yang ada di Mesir. Firaun yang bongkak berkata kepada pengikutnya. “Mengapa Musa tidak ada satu pun emas di badannya? Dan mengapa dia tidak mengikat para malaikat dengan tali untuk menyembahnya? Lihatlah aku! Aku mengikat hamba-hambaku dan mereka semua menyembahku, melakukan segala yang aku perintahkan!”
120) Nabi Musa kesal dengan betapa bongkaknya firaun. Dan baginda berdoa kepada Allah, sambil nabi Harun mengaminkan doanya, "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” - Rujuk al Quran (10:88). Kemudian Allah berfirman, “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua” - Rujuk al Quran (10:89).
121) Kemudian Allah mengilhamkan kepada nabi Musa untuk membawa Bani Israel keluar dari Mesir pada waktu malam ke tepi lautan. Maka nabi Musa dengan secara senyap mengumpulkan Bani Israel pada waktu malam untuk lari dari Mesir. Mereka bertanya, “Kita mahu ke mana?”, nabi Musa berkata, “Ikut sahaja. Cepat!”. Berita ini sampai ke telinga firaun dan dia menjadi marah. Firaun berkata, “Tidak mengapa, pagi nanti saja kita kejar mereka.” Kenderaan firaun dan tenteranya jauh lebih laju jadi pagi itu sekejap sahaja mereka dapat mengejar Bani Israel di tepi laut.
122) Firaun datang dengan lebih 1.5 juta askarnya untuk mengejar Bani Israel seramai 600,000 orang. Apabila firaun dan tenteranya semakin menghampiri, ada di kalangan Bani Israel berkata, “Habislah kita!” Mereka sudah mula risau. Nabi Musa tercari-cari dari arah timur dan barat pantai, di mana mereka boleh lalu untuk menyeberangi laut. Kemudian Allah mengilhamkan kepada nabi Musa untuk mengetuk laut menggunakan tongkatnya. Apabila diketuk air laut itu, dengan kuasa Allah maka terbelah laut itu menjadi dua, membentuk laluan untuk nabi Musa dan kaumnya berlari ke seberang laut.
123) Firaun dan tenteranya menjadi takut. Apabila nelihat dua bahagian laut yang terbelah itu tinggi menggunung. Bani Israel pula sudah jauh berlari, ada di antara mereka yang telah sampai di seberang laut. Firaun pun berkata, “Apa tunggu lagi? Kejar!” Dan mereka pun meluru masuk ke dalam belahan laut itu. Firaun sangat bongkak, dia yakin bahawa dia boleh sampai ke seberang laut. Nabi Musa telah sampai di seberang, lalu baginda mengetuk semula air laut itu maka tertutup laluan tadi membanjiri askar-askar firaun. Mereka menjerit terlolong dan akhirnya semua sekali tenggelam ke dasar laut.
124) Di saat akhir nyawa firaun ketika dia sedang lemas, firaun berkata dalam hatinya, “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri” - Rujuk al Quran (10:90). Namun pintu taubat telah pun tertutup untuk firaun dan Allah tidak menerima taubatnya.
125) Kemudian bumi bagaikan tidak menerima mayat firaun. Dalam berjuta orang yang tenggelam di dalam laut, mayat firaun seorang sahaja yang terapung. Allah berfirman, "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" - Rujuk al Quran (10:92). Mayat firaun diawet dan disimpan di keranda dalam piramid di Mesir, dan ia kekal sehingga sekarang untuk tontonan kaum manusia sebagai pengajaran tentang kekuasaan Allah.


1) Nabi Zulkifli merupakan anak kepada nabi Ayub dan Rahma. Nama sebenarnya ialah Basyar dan baginda digelar Zulkifli yang bermaksud ‘bertanggungjawab’ kerana sifatnya. Nabi Zulkifli merupakan seorang yang sangat bertaqwa kepada Allah dan sering beribadat.
2) Nabi Zulkifli berasal dari Damaskus, Sham (Syria) dan hidup pada zaman pemerintahan seorang raja yang sangat alim. Raja tersebut amat disayangi rakyatnya. Ketika nabi Zulkifli masih muda, raja alim tersebut sudah sangat tua dan baginda tidak mempunyai waris. Pada satu hari, raja itu mengumpulkan rakyatnya untuk membuat pengumuman. Raja itu berkata, “Aku sudah tua, tidak lama lagi aku akan pergi. Dan aku tidak mempunyai waris untuk menurunkan takhta ku. Jadi aku akan pilih di antara kamu untuk menggantikan aku sebagai raja.”
3) Raja tersebut menetapkan syarat kepada sesiapa yang ingin mewarisi takhtanya. Syaratnya: orang itu perlu memiliki sifat yang sangat sabar, sanggup berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malam.
4) Sang raja meminta sesiapa yang sanggup menjalani hari-harinya sebegitu untuk mengangkat tangan. Diantara rakyat jelata yang datang berkumpul, tidak ada seorang pun yang mengangkat tangan kerana mereka merasakan syarat yang ditetapkan terlalu berat. Tiba-tiba seorang anak muda mengangkat tangan iaitu nabi Zulkifli, anak kepada nabi Ayub. Kemudian dengan suara yang lantang, nabi Zulkifli berkata, “Hamba sanggup berpuasa di siang hari dan beribadah sepanjang malam.” Raja itu melihat pemuda itu dan berkata, “Wahai anak muda, kamu jangan permainkan kata-kataku. Perkara ini penting untuk menentukan masa hadapan rakyat dan negeri ini.” Dengan tenang, nabi Zulkifli pergi ke hadapan sang raja dan berkata, “Wahai raja junjungan hamba, hamba bukan main-main. Hamba akan melakukan syarat-syarat tersebut.” Raja tadi mengulangi syaratnya sebanyak 3 kali dan pemuda yang sama berjanji akan mematuhi syarat-syarat tersebut. Sang raja pun bersetuju untuk mengambil nabi Zulkifli sebagai penggantinya.
5) Tidak lama kemudian, raja tua itu pun wafat dan seluruh rakyat bersedih. Nabi Zulkifli diangkat menjadi raja dan menjalani kehidupannya di dalam istana dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketaatan beribadah kepada Allah seperti yang disyaratkan kepadanya. Nabi Zulkifli berpuasa di siang hari sambil menguruskan pentadbiran negerinya dan waktu malamnya dihabiskan dengan beribadah kepada Allah sehingga tinggal hanya sedikit masa untuk tidur. Negerinya aman damai dan nabi Zulkifli disenangi rakyatnya kerana sifatnya yang tenang dan sabar.
6) Pada suatu malam, iblis menyamar sebagai seorang lelaki tua dan telah datang ke istana untuk berbuat onar. Dia mengadu bahawa dia mempunyai masalah di salah satu wilayah di bawah naungan negeri nabi Zulkifli. Dia sengaja berbuat kecoh, tidak mahu berjumpa dengan penasihat raja dan hanya mahu berjumpa dengan raja secara langsung. Ketika itu nabi Zulkifli sedang tidur. Nabi Zulkifli pun berjumpa dengan orang tua itu dan mendengar aduannya. Nabi Zulkifli berkata kepada orang tua itu untuk datang kembali keesokan malamnya, supaya nabi Zulkifli dapat menyelesaikan isu tersebut pada siang hari. Keesokannya, orang tua tersebut berdegil tidak mahu datang oada waktu malam dan datang pada waktu siang hari malah berbuat kecoh pada si raja. Nabi Zulkifli dengan tenang meminta orang tua itu untuk berjumpanya pada waktu malam setelah isu yang diadukan dapat diselesaikan. Namun pada malam itu dia tidak datang. Masuk hari ketiga, orang tua itu datang lagi untuk berbuat kecoh. Kali ini dia tidak dapat melepasi pengawal istana maka dia berubah ke bentuk asalnya dan menyelinap masuk menembusi pintu2 istana dan berdepan dengan raja Zulkifli. Raja Zulkifli terkejut melihat rupa asal orang tua tadi yang rupa-rupanya adalah Iblis. Iblis sebenarnya sedang berusaha untuk membangkitkan kemarahan nabi Zulkifli. Nabi Zulkifli berjaya menahan kesabarannya seperti janjinya kepada raja sebelumnya.
7) Ada suatu ketika, Allah menurunkan ujian kepada nabi Zulkifli. Ada sekumpulan pemberontak yang telah melanggar perintah Allah dan melakukan kerosakan di negeri nabi Zulkifli. Untuk melawan kumpulan ini, satu-satunya cara adalah dengan berperang. Nabi Zulkifli memerintahkan rakyat dan tenteranya untuk ke medan perang. Namun mereka semua takut mati dalam peperangan. Mereka akan menuju ke medan perang juka nabi Zulkifli dapat menjamin bahawa mereka tidak akan mati. Nabi Zulkifli sangat sabar dan tidak marah dengan kedegilan rakyatnya. Kemudian nabi Zulkifli berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan mereka ketika dalam peperangan. Allah menurunkan wahyu kepada nabi Zulkifli, “Aku telah mengetahui apa permintaan mereka dan aku telah mendengar akan doamu, maka semua itu akan Aku kabulkan.” Akhirnya peperangan itu dimenangi oleh nabi Zulkifli dan pengikutnya. Tiada seorang pun pengikutnya yang gugur dalam peperangan.
8 ) Nabi Zulkifli wafat pada usia 95 tahun di Damaskus, Syria. Namanya disebut beberapa kali di dalam Al Quran. Allah berfirman, “Dan (ingatlah kisah) nabi Ismail, Idris dan Zulkifli. Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar.” - Rujuk al Quran (21:85). “Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik.” - Rujuk al Quran (38:48).


1) Beberapa generasi selepas kewafatan nabi Musa, Bani Israel bagaikan tiada pedoman. Mereka seperti kehilangan sehinggakan satu ketika Allah datangkan sehingga tiga orang nabi kepada mereka. Mereka telah lalui banyak peperangan dan semuanya mereka kalah. Dalam satu peperangan, Bani Israel telah kehilangan harta yang paling berharga di tangan pihak lawan. Harta itu adalah sebuah peti yang berisi ayat-ayat keterangan Allah dan beberapa barangan peninggalan nabi Musa dan nabi Harun seperti pakaian nabi Musa dan sebagainya. Hilangnya peti itu membuatkan mereka semakin rasa kehilangan dan lebih tersasar dari jalan Allah.
2) Lebih kurang 500 tahun selepas kewafatan nabi Musa, Allah datangkan nabi Yusha untuk memberi panduan kepada Bani Israel. Bani Israel inginkan seorang pemimpin maka mereka meminta nabi Yusha untuk melantik seorang raja dari kalangan mereka supaya mereka boleh berkhidmat kepadanya. Nabi Yusha berdoa kepada Allah dan Allah telah memilih seorang lelaki bernama Talut dari kalangan Bani Israel. Talut seorg yang berpengetahuan luas dan badannya sasa, dan dia juga lelaki paling tinggi dari kalangan mereka. Dari segi kebijaksanaan dan aspek fizikal, Talut adalah yang paling layak menjadi pemimpin. Apabila telah mendapat raja seperti yang diminta, Bani Israel menolak Talut sebagai pilihan kerana dia seorang yang miskin.
3) Kemudian, Allah menurunkan peti harta Bani Israel yang hilang dalam peperangan dari langit sambil dibawa oleh para malaikat. Ia kembali menjadi milik mereka. Dengan ini, Bani Israel tidak boleh menolak perintah Allah untuk menerima Talut sebagai raja. Pada waktu itu juga kaum Jalut sedang merancang untuk berperang dengan Bani Israel. Kaum Jalut (atau dikenali juga sebagai Goliath) ini sejenis kaum yang berbadan besar dan kuat. Rata-rata menceritakan bahawa mereka ini adalah kaum gergasi. Raja mereka bernama Jalut dan dia seorang gergasi yang paling besar dan kuat. Talut yang merupakan orang paling tinggi dalam kalangan Bani Israel pun jika dibandingkan dengan Jalut, tingginya setakat bahu Jalut sahaja. Dikatakan Jalut terlalu kuat, dia seorang sahaja sudah cukup untuk menewaskan seluruh angkatan pihak lawan.
4) Talut memimpin seramai 80,000 orang Bani Israel untuk berperang dengan kaum Jalut. Dalam perjalanan ke medan perang, tentera Bani Israel berjalan merentasi padang pasir sehingga berjumpa dengan sebuah sungai. Mereka perlu menyeberang sungai itu namun sebelum itu Talut berpesan kepada kaumnya bahawa Allah telah melarang Bani Israel dari meminum air sungai tersebut kecuali dengan hanya seceduk tapan tangan. Jika ada yang minum sepuas-puasnya,mereka tidak dibenarkan untuk mengikut Talut berlawan di medan perang (Rujuk surah al-Baqarah ayat 249). Bani Israel baru sahaja berjalan merentasi padang pasir oleh itu mereka sangat haus. Antara 80,000 orang tentera, seramai 76,000 dari mereka telah meminum air sungai tadi. Tinggal 4000 sahaja yang berjaya merentas sungai tanpa melanggar perintah Allah. Kemudian mereka melihat angkatan tentera Jalut yang sangat besar dan sangat ramai sehinggakan pergerakan mereka menyebabkan pasir berterbangan ke langit membentuk kepulan awan pasir. 4000 orang tersebut menjadi sangat takut, lebih-lebih lagi apabila menyedari bahawa bilangan mereka semakin mengecil. Kebanyakan mereka menarik diri dan tinggal seramai 314 orang sahaja yang masih mengikuti berperang.
5) Tentera Talut berdepan dengan sang gergasi Jalut yang menggerunkan. Jalut memegang perisai yang sangat besar sehingga menutupi seluruh badannya. Jalut menyeru kepada Bani Israel untuk menghantar seorang yang paling berani untuk berlawan dengannya. Jalut melaungkan panggilan itu sebanyak 3 kali namun tidak ada seorang pun askar Bani Israel yang menyahut cabarannya. Tiba-tiba keluar seorang anak muda yang berbadan kecil bersenjatakan lastik getah di tangannya. Dia berkata, “Aku akan melawan kau, Jalut!” Pemuda itu bernama Daud. Jalut melihat pemuda itu dan berkata, “Aku takkan berlawan dengan kau kerana kau seorang budak.” Nabi Daud mengambil 3 biji batu dan melastik ke arah Jalut. Salah satu batu itu terkena dahi Jalut, di antara matanya iaitu tempat yang Jalut paling lemah. Lalu Jalut si gergasi itu pun rebah ke tanah dan mati. Peperangan tu pun berakhir dan kemenangan menjadi milik Bani Israel. Kisah nabi Daud & Jalut atau dikenali juga sebagai ’David & Goliath’ ini banyak diadaptasikan di dalam buku cerita, filem dan banyak lagi.
6) Talut memerintah Bani Israel sehingga ke akhir hayatnya. Talut mengahwinkan anak perempuannya dengan nabi Daud dan nabi Daud menggantikan Talut sebagai raja setelah kewafatannya. Allah mengangkat kedudukan nabi Daud menjadi raja dan sekaligus mengangkatnya sebagai nabi Allah untuk menyebarkan ajaran Islam. Setelah berabad lamanya Bani Israel hidup dalam keadaan huru hara, akhirnya mereka dipimpin oleh seorg raja untuk hidup dengan aman. Kitab Zabur diwahyukan kepada nabi Daud sebagai panduan hidup umatnya. Dikatakan nabi Daud mempunyai suara yang sangat merdu, apabila baginda membaca kitab Zabur, burung-burung turut menyanyi dengannya. Nabi Daud juga mempunyai mukjizat boleh melenturkan besi dengan tangannya. Nabi Daud sangat pandai membuat perisai daripada besi.
7) Nabi Daud dan isterinya melahirkan waris iaitu nabi Sulaiman. Nabi Daud wafat pada usia 100 tahun.


1) Nabi Sulaiman merupakan anak kepada nabi Daud. Nabi Sulaiman mewarisi takhta dan kenabian daripada bapanya.
2) Ketika zaman nabi Sulaiman, ada emoat orang raja yang menguasai dunia. Dua orang raja Islam iaitu nabi Sulaiman dan Iskandar Zulqarnain manakala dua orang raja lagi bukan Islam iaitu Bakht Nasr dan Namrud. Di antara emoat orang raja agung ini, nabi Sulaiman merupakan raja yang paling berkuasa.
3) Mengapa nabi Sulaiman yang paling hebat? Kerana Allah telah menurunkan mukjizat dan ilmu kepada nabi Sulaiman yang tidak tertanding dengan raja-raja lain. Pertama, baginda boleh mengawal angin; walau dari jarak sebulan jauh. Maksudnya baginda boleh mengawal pergerakan angin sebulan sebelum angin itu sampai kepadanya sehinggalah sebulan selepas ia melepasinya. Kedua, baginda boleh mengawal tembaga. Tembaga boleh menjadi cair dan mengalir mengikut arahannya dan mengeras semula dalam bentuk yang dikehendakinya. Ketiga, baginda boleh mengawal jin. Golongan jin amat takut dengan nabi Sulaiman; jin yang ingkar arahan nabi Sulaiman akan dikenakan hukuman. Keempat, Allah mengurniakan nabi Sulaiman ilmu bahasa burung dan bahasa haiwan lain. Baginda boleh bercakap dan faham bahasa haiwan. Dan kelima, angkatan tenteranya sangat besar dan terdiri daripada manusia, jin dan burung.
4) Walaupun dikurniakan dengan pelbagai mukjizat, nabi Sulaiman tidak pernah bongkak. Baginda sentiasa bersyukur kepada Allah.
5) Ada suatu ketika, nabi Sulaiman dgn bala tenteranya sedang berarak dalam perjalan untuk pergi berperang dan mereka melalui sebuah lembah yang dipenuhi dengan semut. Dari jauh, seekor semut ternampak bala tentera nabi Sulaiman sedang menuju ke kawasan tempat tinggal semut lalu semut itu pun memanggil semut-semut yang lain, “Semut-semut semua! Cepat sembunyi di dalam tanah! Sebelum nabi Sulaiman dan tenteranya terpijak kamu semua tanpa sengaja!” Nabi Sulaiman terdengar kata-kata semut tersebut dan baginda pun terhibur.
6) Pada suatu hari, sedang nabi Sulaiman memeriksa barisan tenteranya, baginda tersedar bahawa tidak cukup seekor burung. Burung yang hilang itu ialah seekor burung hud-hud. Nabi Sulaiman jadi marah. Nabi Sulaiman berkata, “Di manakah Hud-hud? Aku akan menghukumnya atas kelewatannya kecuali jika ia mempunyai alasan yang kukuh!” Tidak lama selepas itu burung hud-hud tersebut sampai dan berkata, “Wahai Sulaiman! Aku mengetahui sesuatu yang engkau tidak tahu.” Nabi Sulaiman pun berkata, “Siapa yang berani berdiri di hadapan rajanya dan berkata dia lebih mengetahui akan sesuatu dari rajanya?! Aku sembelih kau nanti!” Nabi Sulaiman merupakan raja yang garang, oleh itu baginda mampu mendisiplinkan jutaan tenteranya. Kemudian burung hud-hud bercerita, “Aku telah terbang ke negeri Saba (Sheba, Yemen). Pemimpin mereka seorang perempuan dan dia memiliki segalanya! Dia memiliki kuasa, harta, tentera, kerajaan, segala-galanya! Dia mempunyai takhta yang cantik lagi hebat!” Burung hud-hud pun menyambung puji-pujian mengagungkan kerajaan Puteri Balqis. Kemudian burung itu menjadi kecewa dan mengatakan, “Aku melihat puteri itu dan seluruh kerajaannya bersujud keada matahari. Syaitan telah menyesatkan mereka. Nampaknya mereka merasakan perbuatan mereka itu betul.” Dan akir sekali burung hud-hud berkata, “Allah, tiada lain yang selayaknya disembah melainkan Allah, raja kepada segala raja.”
7) Nabi Sulaiman berkata kepada Hud-hud, “Baiklah, kita akan lihat jika kau berkata benar atau menipu.” Kemudian nabi Sulaiman pun menulis sepucuk surat kepada Puteri Balqis. Burung hud-hud membawa surat itu terbang ke negeri Saba dan jatuhkan surat itu di atas riba Puteri Balqis. Puteri Balqis memanggil pembesar negerinya untuk membacakan surat itu dan dapatkan nasihat tentang apa yang patut dilakukan. “Wahai pembesar sekalian, beta telah menerima surat dari Raja Sulaiman. Isinya ringkas, dengarkan: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Janganlah engkau sombong dan berserah diri lah kepadaku.” Puteri Balqis bertanya kepada para pembesar, “Apakah yang patut aku lakukan?” Para pembesar dengan lajunya mencadangkan untuk berperang. Puteri Balqis seorang wanita yang bijak. Dia tahu peperangan bukanlah jalan yang bijak kerana setiap kali berlakunya perang, rumah-rumah akan musnah dan ramai yang akan mati. Tentera raja Sulaiman pula sangat besar dan hebat berbanding tentaranya. Puteri Balqis mempunyai idea. Dia menghantarkan kepada nabi Sulaiman hadiah-hadiah dari kerajaan Saba. Tindakan Puteri Balqis ini menunjukkan kebijaksanaannya kerana jika Raja Sulaiman itu bukan nabi, sudah tentu baginda akan menerima rasuah Puteri Balqis. Namun apabila nabi Sulaiman mendapat hadiah yang serba mewah daripada Puteri Balqis, baginda menghantar semula hadiah tersebut dengan pesanan, “Jika kau fikir kau boleh merasuahku dengan kemewahan, kau salah. Tiada siapa boleh membeli agamaku. Aku akan datang kepadamu dengan bala tentera yang tidak pernah kau lihat seumur hidupmu.”
8 ) Apabila pesanan itu sampai kepada Puteri Balqis, dia berfikir lagi. Tidak mungkin dia akan membiarkan peperangan berlaku kerana kerajaan Puteri Balqis semestinya akan kalah, oleh itu dia mahu elakkan pertumpahan darah dan menyerah kalah secara baik. Puteri Balqis mengumumkan bahawa dia akan berangkat untuk berjumpa Raja Sulaiman bersama tenteranya.
9 ) Berita itu sampai kepada nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman ingin menunjukkan kepada Puteri Balqis bahawa kerajaannya bukan biasa-biasa, ia adalah simbol kekuasaan Allah. Jadi nabi Sulaiman mengumpulkan tenteranya yang terdiri daripada manusia, jin dan haiwan. Nabi Sulaiman berkata, “Sebelum Puteri Balqis tiba untuk menyerah diri, aku mahu kerusi takhtanya yang menjadi kebanggaan kerajaan Saba untuk dibawa ke sini.” Jin Ifrit merupakan jin yang paling tinggi kedudukannya dalam kalangan jin dan dia telah menawarkan dirinya untuk bawakan takhta Puteri Balqis tersebut. Jin Ifrit berkata, “Aku boleh bawakan takhta itu ke sini sebelum kau sempat bangun dari tempat dudukmu, Sulaiman. Aku sangat kuat dan kau boleh percayakan aku atas tugasan sebegini.” Namun nabi Sulaiman tidak memilih Ifrit, baginda mempunyai calon yang lebih sesuai untuk tugasan itu. Calon tersebut itu jin atau manusia, wallahua’alam. Dia dikenali sebagai The One with Knowledge of the Book - sesuatu/seseorang yang mempunyai ilmu kitab. Dia janji dengan nabi Sulaiman, “Aku boleh bawakan takhta itu dalam sekelip mata.” Nabi Sulaiman tidak sempat berkelip pun matanya, takhta itu muncul di hadapannya. Kemudian nabi Sulaiman mengarahkan untuk melakukan penyamaran terhadap takhta itu untuk melihat Puteri Balqis dapat mengenali atau tidak bahawa itu takhtanya.
10 ) Apabila Puteri Balqis sampai di istana nabi Sulaiman, nabi Sulaiman sengaja bertanya, “Adakah ini takhtamu?” Puteri Balqis keliru sebentar. Dia merasakan takhta itu seperti miliknya namun dia tidak membawanya bersama tadi. Apabila Puteri Balqis menyedari bahawa itu memang takhtanya, dia jadi terpegun dengan kehebatan nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman pun berkata, “Inilah tanda kekuasaan Allah, Tuhan sekalian Alam.”
11 ) Nabi Sulaiman mempunyai banyak istana hebat yang dibina oleh jin. Salah satunya ialah sebuah istana kaca yang dibina di atas sungai yang mengalir. Nabi Sulaiman membawa Puteri Balqis ke istana kaca yang serba indah itu. Apabila Puteri Balqis masuk ke dalam istana itu, dia nampak air mengalir di bawahnya lalu dia cepat-cepat meninggikan kainnya kerana takut basah. Selepas itu dia sedar bahawa kakinya tidak akan basah kerana rupanya dia sedang memijak lantai kaca! Puteri Balqis sangat kagum dengan kehebatan Allah, lalu dia pun berkata, “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menindas diriku sendiri dengan menyembah selain dari-Mu.” Puteri Balqis terus beriman kepada Allah dan tidak lama selepas itu dia berkahwin dengan nabi Sulaiman.
12 ) Pada satu ketika, ketika nabi Sulaiman sudah tua, baginda telah mengarahkan jin-jin untuk membina istana besar. Setiap kali jin terlihat kelibat nabi Sulaiman, mereka akan berlari melakukan kerja dan tidak berani untuk memandang muka nabi Sulaiman. Pada satu hari, nabi Sulaiman datang memeriksa jin-jin yang sedang membina istananya. Baginda berdiri sambil meletakkan tangan pada tongkatnya dan memerhati jin-jin tersebut melakukan pekerjaaan. Jin tersebut menjadi takut dan bekerja tanpa henti, tanpa rehat selama setahun. Sehingga anai-anai datang dan memakan tongkat nabi Sulaiman dan akhirnya tongkat itu patah, dan nabi Sulaiman pun jatuh ke tanah. Rupanya nabi Sulaiman telah wafat selama setahun dalam keadaan berdiri dan matanya terbuka seakan2 sedang memerhati jin-jin bekerja. Selepas menyedari akan keadaan itu, barulah mereka berhenti bekerja. Begitulah berakhirnya riwayat hidup nabi Sulaiman.


1) Nabi Ilyas lahir dari keturunan Bani Israel. Nama lain nabi Ilyas ialah Yasin. Baginda telah diangkat oleh Allah sebagau seorang nabi untuk menyebarkan ajaran Islam. Allah telah menghantar nabi Ilyas ke sebuah kota bernama Baalbek, sekarang dikenali sebagai sebuah tempat di timur Lebanon. Ketika zaman nabi dahulu, hampir semua negara arab yang ada sekarang adalah di dalam daerah Sham. Namun sekarang telah berpecah menjadi Mesir, Syria, Palestin, Lebanon, Jordan, dan banyak lagi.
2) Penduduk Baalbek menyembah sebuah patung berhala bernama Ba’l. Nabi Ilyas telah datang kepada kaum Baalbek dan berseru, “Kamu menyembah berhala dan meninggalkan sebaik-baik Pencipta iaitu Allah swt. Berimanlah kepada Allah, Tuhan sekalian alam, Tuhan yang disembah nenek moyang kamu dahulu!” - Rujuk al Quran (37:125-126)
3) Kaum Baalbek menolak ajaran nabi Ilyas. Ketika itu, Baalbek diperintah oleh seorang raja yang zalim. Raja itu telah memerintahkan nabi Ilyas untuk dibunuh.
4) Disebabkan itu, nabi Ilyas telah melarikan diri dan bersembunyi di kawasan pergunungan sekitar Baalbek. Nabi Ilyas bersembunyi selama 20 tahun, kemudian keluar semula untuk menyebarkan agama Islam.
5) Sekali lagi kaum Baalbek menolak ajaran nabi Ilyas. Allah berfirman, “Maka mereka akan dibawa kembali (untuk diseksa). Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik.” - Rujuk al Quran (37:127-128).
6) Kemudian Allah telah memuliakan nama nabi Ilyas untuk generasi seterusnya dan Allah memberi salam ke atas nabi Ilyas di dalam Quran. Allah berfirman, “Dan Kami abadikan bagi Ilyas (pujian yang baik) dalam orang-orang yang datang kemudian. “Salam sejahtera ke atas Ilyasin (Ilyas)!”” - Rujuk al Quran (37:129-130).
7) Nabi Ilyas wafat di Baalbek.


Nabi Ilyasa merupakan sepupu kepada nabi Ilyas yang juga lahir dari keturunan Bani Israel. Allah telah menghantar nabi Ilyasa untuk menyebarkan ajaran Islam di sekitar Damaskus, Syria.
Tidak banyak yang diceritakan tentang nabi Ilyasa di dalam al Quran dan hadis. Apa yang kita dapat pelajari, nabi Ilyasa mengikut dan meneruskan syariat nabi Ilyas dalam perjalanan hidupnya menyebarkan agama Islam. Nabi Ilyasa hidup sehingga umur 90 tahun dan wafat di Palestin.
Nama nabi Ilyasa disebut sebanyak dua kali. “Dan Ismail dan Ilyasa dan Yunus dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat (yang ada pada zaman mereka).” - Rujuk al Quran (6:86). “Dan (ingatlah perisitiwa) nabi Ismail dan nabi Ilyasa dan nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya.” - Rujuk al Quran (38:48).


1) Nabi Yunus diberi gelaran Dhan-Nun yang bermaksud Peneman Ikan Nun. An-Nun bermaksud ikan besar iaitu ikan paus. Nabi Yunus telah diangkat sebagai nabi Allah dan Allah telah menghantar baginda kepada kaum Mosul di Iraq yang juga dikenali sebagai Ninawa.
2) Kaum Mosul terdiri daripada lebih 100 ribu orang. Nabi Yunus telah menyeru kepada kaum Mosul untuk menyembah Allah dan bukan selain dari-Nya. Berkali-kali nabi Yunus menyeru kepada kaumnya untuk beriman kepada Allah, namun seperti nabi-nabi sebelumnya, kaum nabi Yunus menolak ajaran Islam. Nabi Yunus memberi amaran kepada kaum Mosul untuk takut kepada hukuman Allah namun sama sahaja, mereka tetap menolak.
3) Nabi Yunus menjadi marah dan putus asa untuk berdakwah kepada kaum Mosul yang degil. Nabi Yunus membuat keputusan untuk pergi jauh dari Mosul untuk berdakwah kepada kaum lain. Baginda percaya ada lebih banyak kaum lain yang boleh dibimbing ke jalan Allah. Maka nabi Yunus memulakan perjalanannya ke tepi laut untuk menyeberangi lautan untuk pergi ke negara lain.
4) Sementara itu, semasa nabi Yunus dalam perjalanan ke tepi laut, Allah datangkan azab-Nya kepada kaum Mosul. Langit yang cerah menjadi gelap gelita dan sangat menggerunkan. Seluruh kaum Mosul seramai 100 ribu lebih orang itu semua sekali melihat ke langit dan mereka mula menangis ketakutan. Mereka tahu azab Allah sedang datang kepada mereka dan mereka teringat kisah kaum Luth, tentang bagaimana Allah telah menghukum mereka. Dan mereka teringat amaran-amaran yang seringkali disebut oleh nabi Yunus tentang hukuman Allah. Seluruh kaum Mosul pun tersedar apa yang patut mereka lakukan iaitu bertaubat kepada Allah. Mereka bertaubat seikhlas hati dan semuanya menangis, baik lelaki, wanita serta kanak-kanak. Nabi Yunus satu-satunya nabi di mana seluruh kaumnya bertaubat dan beriman kepada Allah. Maka Allah tarik balik azab-Nya kerana tiada seorang pun di antara mereka yang tidak bertaubat kepada Allah - Rujuk al Quran (10:98).
5) Nabi Yunus tidak tahu apa yang telah berlaku kepada kaumnya semasa dalam perjalanannya. Sampai di tebing laut, terdapat sebuah kapal yang sarat. Nabi Yunus lompat masuk ke dalam kapal tersebut dan kapal itu pun memulakan perjalanan - Rujuk al Quran (37:140). Tiba-tiba angin mula bertiup kencang dan ribut mula datang. Kapal sarat itu mula bergoncang dan dimasuki air. Mereka mula tenggelam sedikit demi sedikit. Orang-orang di dalam kapal cuba untuk mengurangkan muatan lebihan dengan mencampak keluar semua barangan di dalam kapal namun kapal semakin tenggelam.
6) Mereka terpaksa mengurangkan bilangan orang di dalam kapal. Untuk adil, mereka mencabut nama dan nama yang keluar mestilah terjun dari kapal. Apabila nama dicabut, nabi Yunus yang keluar. Mereka melihat rupa nabi Yunus kelihatan seperti seorang yang alim, berpengetahuan luas dan masih muda, tidak ramai orang muda seperti ini. Satu pembaziran jika dibiarkan mati. Maka mereka memutuskan untuk membatalkan cabutan tadi dan cabut lagi sekali. Kali kedua, nama nabi Yunus yang keluar. Kali ketiga, juga nama nabi Yunus yang keluar. Nabi Yunus sedar bahawa ini bukanlah kebetulan, namun ketentuan Allah - Rujuk al Quran (37:141). Maka nabi Yunus pun terjun ke dalam laut.
7) Sebaik sahaja nabi Yunus masuk ke dalam laut, Allah memerintahkan ikan nun untuk menelannya - Rujuk al Quran (37:142). Dalam proses ditelan itu, nabi Yunus pengsan. Allah berfirman, “Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih); tentu dia akan tinggal di dalam perut ikan itu sehingga hari manusia dibangkitkan dari kubur.” - Rujuk al Quran (37:143-144).
8 ) Ikan nun tersebut berenang ke dasar laut yang gelap. Nabi Yunus tersedar dari pengsan apabila terdengar bunyi-bunyian di dalam laut. Dia bertanya kepada Allah bunyi apa yang sedang didengarnya dan Allah menjawab bahawa itulah bunyi tasbih batu-batu dan ikan-ikan di dalam laut. Nabi Yunus bersujud kepada Allah dalam keadaan bertaubat dan berkata, “Aku bersujud daam kegelapan-kegelapan ini (kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan dasar laut dan kegelapan malam). Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau ya Allah! Maha suci Engkau, tolonglah daku! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” - Rujuk al Quran (21:87).
9) Nabi Yunus hidup di dalam perut ikan nun selama 40 hari (ada yang mengatakan sekurang-kurangnya 3 hari, wallahualam). Selama 40 hari nabi Yunus bertasbih dan berdoa kepada Allah sehingga baginda menjadi semakin lemah. Akhirnya Allah memperkenankan doanya. Ikan nun tersebut memuntahkan nabi Yunus di tepi pantai dan nabi Yunus keluar dalam keadaan sakit - Rujuk al Quran (37:145). Dikatakan badannya lembik dan kulitnya dipenuhi ruam. Kemudian Allah menumbuhkan sebuah pohon melingkar di sebelah tempat nabi Yunus terbaring - Rujuk al Quran (37:146). Nabi Yunus dapat makanan dari tumbuhan itu dan bila daunnya yang lebar menyentuh kulit nabi Yunus, ia terasa sangat lembut dan nyaman. Ia juga menjadi tempat berteduh sementara nabi Yunus menyembuhkan diri.
10) Apabila nabi Yunus telah sembuh, baginda pulang ke Mosul dan terkejut melihat seluruh kaumnya sudah beriman kepada Allah. Allah kurniakan kepada mereka kebahagiaan buat sesuatu masa - Rujuk al Quran (37:148).


1) Nabi Zakaria merupakan seorang yang sangat alim dan dihormati. Baginda merupakan biras kepada Imran, seorang sheikh yanh juga sangat alim dan selalu mengimamkan solat di Baitulmaqdis. Isteri mereka merupakan adik beradik (yang juga sangat alim dan dihormati) dan kedua-dua isteri mereka mandul maka mereka tidak mempunyai zuriat sehinggalah suatu masa ketika mereka sudah tua.
2) Pada suatu hari, ketika isteri Imran yang bernama Hannah sedang beribadah, dia terlihat seekor ibu burung sedang memberi anak-anak burung makan dan apabila angin bertiup, ia mengembangkan sayapnya dan melindungi anak2nya dari ditiup angin. Hannah tiba-tiba terasa dia sangat teringin memiliki anak sendiri walaupun usianya sudah tua. Maka dia berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk mengurniakan mereka seorang anak. Dan Allah memakbulkan permintaannya.
3) Hannah bernazar, anak yang di dalam kandungannya itu akan didedikasikan untuk berkhidmat di jalan Allah dan akan tinggal dan membesar di sebuah mihrab - Rujuk al Quran (3:35). Tidak lama kemudian, lahirlah seorang bayi perempuan bernama Maryam. Hannah berdoa supaya Maryam dan zuriat yang lahir dari Maryam nanti sentiasa terlindung daripada syaitan - Rujuk al Quran (3:36). Istimewanya Maryam dan Isa (anak Maryam) adalah mereka tidak pernah diganggu syaitan. Bapanya, Imran telah meninggal dunia ketika Maryam masih dalam kandungan maka dia telah lahir sebagai seorang anak yatim. Oleh itu, orang-orang alim telah berdebat tentang hak penjagaan Maryam.
4) Nabi Zakaria berkata, “Tentulah aku yang paling layak menjaganya kerana aku bapa saudaranya”. Mereka berasa tidak adil begitu. Lalu mereka mahu membuat cabutan. Masing-masing meletakkan pen mereka ke dalam sebuah bekas kemudian mereka memanggil seorang budak untuk mengambil satu pen. Pen yang diambil ialah pen nabi Zakaria maka sepatutnya nabi Zakaria lah yang menang. Mereka batalkan cabutan itu dan memulakan semula cabutan. Mereka meletakkan pen-pen tadi ke dalam air yang mengalir dan syaratnya, pen siapa yang tidak mengikut arus air adalah pemenang. Kesemua pen bergerak mengikut arus air kecuali pen nabi Zakaria. Mereka membatalkan cubaan kedua itu dan buat satu lagi cubaan tapi syaratnya ialah pen siapa yang bergerak mengikut arus, dia menang. Dengan kuasa Allah, pen nabi Zakaria sahaja yang bergerak mengikut arus dan yang lain bergerak menentang arus. Apabila telah tiga kali menang, terang-terang Allah yang menghendakinya. Maka nabi Zakaria lah yang berhak menjaga Maryam.
5) Maryam membesar di mihrab sebagai seorg anak perempuan yang sangat alim, baik, suci, dan sentiasa dikasihi Allah. Dia bagaikan sering mendapat perhatian istimewa daripda Allah. Nabi Zakaria pernah melihat pada musim sejuk Maryam membawa buah-buah segar yang hanya tumbuh pada musim panas; dan pada musim panas dia membawa buah-buah segar yang hanya tumbuh pada musim sejuk. Apabila ditanya bagaimana dia mendapatkan buah-buah itu, Maryam menjawab, “Allah yang berikan kepadaku” - Rujuk al Quran (3:37).
6) Menyaksikan kejadian itu, nabi Zakaria sedar bahawa Allah boleh menjadikan apa sahaja. Nabi Zakaria dan isterinya dari muda lagi teringinkan zuriat dan mereka tidak pernah putus harapan. Kemudian nabi Zakaria berdoa kepada Allah, “Ya Allah, tulang-tulangku sudah lemah, rambutku sudah putih, namun aku tidak pernah berhenti mengharapkan kebaikan dari-Mu. Dan sesungguhnya aku bimbang akan kaumku dan isteriku pula mandul. Maka kurniakanlah kepadaku zuriat, dari sisi-Mu, yang dapat mewarisi kenabianku dan keturunan Yaakub.” - Rujuk al Quran (19:5-6). Dan Allah memakbulkan doanya. Allah menurunkan para malaikat untuk menyampaikan berita bahawa nabi Zakaria bakal menimang cahaya mata lelaki yang Allah namakan Yahya; tidak ada lagi orang yang bernama Yahya sebelumnya - Rujuk al Quran (19:7). Anaknya itu bakal mengesahkan ayat-ayat keterangan Allah (yang akan disampaikan oleh nabi Isa), dia akan menjadi ketua orang-orang alim dan dia tidak akan berkahwin kerana dia akan menyerahkan seluruh hidupnya kepada Allah. - Rujuk al Quran (3:39). Allah telah memberitahu semua ini kepada nabi Zakaria sebelum perkara itu terjadi lagi.
7) Nabi Zakaria terkejut dan bertanya kepada Allah, “Bagaimana aku boleh mempunyai anak pada usia tua dan isteriku mandul?” Dan Allah menjawab bahawa Allah boleh menjadikan sesuatu apabila Dia menghendakinya - Rujuk al Quran (3:40). Kemudian nabi Zakaria meminta tanda-tanda bila tiba masa bahawa isterinya sudah hamil. Allah berfirman, “Tanda-tandanga ialah kau tidak mampu bercakap selama 3 hari kecuali menggunakan bahasa isyarat. Ketika itu bertasbih dan berzikirlah pada setiap pagi dan petang.” - Rujuk al Quran (3:41). Tidak lama selepas itu, tibalah hari nabi Zakaria tidak dapat bercakap selama 3 hari namun baginda teruskan berdakwah menggunakan isyarat tangan, bertasbih dan berzikir. Selepas tamat 3 hari utu, tersebarlah berita bahawa isteri nabi Zakaria iaitu Elisha sedang hamil ketika nabi Zakaria berumur 90 tahun.
8 ) Nabi Yahya pun lahir dan membesar menjadi seorang nabi yang sangat alim. Personalitinya agak berbeza daripada orang lain, hampir sempurna. Ketika baginda kanak-kanak, ketika yang lain sibuk bermain, nabi Yahya sangat tekun dan serius mempelajari kitab Taurat sehingga baginda hafal satu kitab. Baginda menghabiskan masanya di rumah ibadat dan beribadah kepada Allah. Baginda juga sangat kasih dan simpati kepada umat manusia, haiwan-haiwan dan makhluk Allah yang lain. Nabi Yahya juga amat berjasa kepada kedua ibu bapanya, baginda tidak pernah ingkar dan tidak sombong. Nabi Yahya tidak pernah berkahwin kerana dia menyerahkan seluruh hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Dan baginda sering menangis ketika mendalami ayat-ayat keterangan Allah dan ketika menyampaikan dalam khutbahnya sehingga menyentuh hati ramai orang. Oleh itu, baginda sangat disayangi pengikutnya.
9) Pada suatu hari, seseorang telah sampaikan kepada raja yang memerintah pada ketika itu bahawa orang ramai lebih menyayangi nabi Yahya berbanding raja mereka sendiri. Pada masa yang sama, raja itu sedang bercinta dengan anak saudaranya sendiri dan ingin mengahwininya. Oleh kerana rasa cemburu, raja itu mula memerhati apa yang nabi Yahya lakukan. Pada satu masa, nabi Yahya telah berkhutbah tentang larangan Allah terhadap perkahwinan dengan mahram sendiri dan hukuman ke atas mereka yang melakukannya. Raja tersebut menjadi marah kerana dia merasakan nabi Yahya biadap kerana memberi khutbah yang kena tepat pada batang hidungnya. Namun, pada ketika itu raja tersebut tidak berkahwin dengan anak saudaranya itu kerana tidak mahu rakyatnya memberontak.
10) Anak saudara raja tersebut merupakan perempuan yang jahat, dia ada muslihatnya sendiri. Dia tetap mahu berkahwin dengan bapa saudaranya jadi dia telah menggoda raja tadi di dalam majlis-majlis di istana. Dia mempunyai badan yang menggiurkan lalu dia menggoda bapa saudaranya dengan tarian, nyanyian, dan banyak lagi sehingga si raja merasakan bahawa dia perlu berkahwin dengan anak saudaranya itu. Akhirnya perempuan jahat tadi berjaya menambat hati bapa saudaranya untuk berkahwin dengannya dan meletakkan syarat perkahwinan, dia mahukan kepala nabi Yahya sebagai maharnya.
11) Maka nabi Yahya wafat dibunuh dan dipenggal kepalanya ketika sedang beribadah kepada Allah.
12) Istimewanya orang-orang dalam kisah kali ini ialah Allah telah mengangkat darjah mereka sangat tinggi sehingga Allah menamakan surah-surah di dalam al-Quran sempena nama mereka iaitu surah Maryam, sempena wanita istimewa di sisi Allah, dan surah Al-Imran, sempena ahli keluarga Imran iaitu Imran, Hannah, Maryam dan Isa.


1) Di dalam Al-Quran, baginda digelar Isa ibni Maryam. Jesus Christ atau Jesus dari Nazareth adalah nama umum bagi orang Kristian.
2) Keturunan Nabi Isa bermula dari kelahiran Maryam iaitu anak perempuan Imran (boleh rujuk Kisah Nabi Zakaria & Yahya sebelum ini). (Surah Ali Imran: 45)
3) Di dalam Al Quran dan juga Injil, ada menyatakan bahawa Jibril menemui Maryam dan memberitahu bahawa Maryam akan melahirkan seorang bayi yang istimewa walaupun Maryam masih dara.
4) Nabi Isa dilahirkan dibawah pokok Kurma di daerah berhampiran Baitulmaqdis, Palestin.
5) Semasa kecil Nabi Isa memiliki mukjizat iaitu mampu bercakap. Nabi Isa ketika itu berpidato dengan mereka yang mengutuk ibu baginda.
6) Selain itu, Nabi Isa memiliki mukjizat setelah dewasa iaitu mampu menyembuhkan orang buta dan lumpuh.
7) Nabi Isa mempunyai 12 orang sahabat. Al-Quran menggelarkan Al-Hawariyun manakala Kirstian mengelarkan 12 diciples / appostle.
8)Mereka adalah;
1. Peter @ Petrus
2. James @ Yakobus
3. John @ Yohannes
4. Andrew @ Andreas
5. Philip
6. Barthomew
7. Matthew
8. Thomas
9. James
10. Thaddeus
11. Simon
12. Judas Iscariot
Nama tersebut masih samar, tiada fakta yang sahih. Injil sendiri masih berbalah mengenai individu Al Hawariyun. Al Quran ada menerangkan mengenai Al Hawariyun ini dalam Surah Al-Maaidah: 111-115
9) Apabila terlihat akan mukjizat Nabi Isa ini, ramai para pendeta pada zaman itu rasa terancam dan mula menabur fitnah ke atas Nabi Isa.
10) Fitnah dari pendeta itu sampai ke Maharaja Rome. Maharaja Rome menawarkan sejumlah harta yang banyak sehingga tertangkapnya Nabi Isa.
11) Ketika itu, Nabi Isa berdakwah secara rahsia dan para sahabat Al Hawariyun banyak membantu.
12) Oleh kerana tamak dan iri hati, salah seorang sahabat Nabi Isa, Judas Iscariot berpaling tadah.
13) Judas memberitahu tempat persembunyian Nabi Isa. Ketika dikejar oleh tentera Rome, Nabi Isa bersembunyi di Gua.
14) Ketika persembunyian di Gua tersebut, maka Allah telah mengangkat Nabi Isa ke langit. Hal ini berdasarkan kepada peristiwa Nabi Isa & Al-Hawariyun menjamah makanan terakhir (The Last Supper). Pada waktu itu, Nabi Isa ada menyebut bahawa salah seorang dari Al-Hawariyun akan mengkhianatinya.
15) Judas yang ketika itu bersiar di bandar, tiba-tiba Allah telah menukarkan rupa Judas kepada rupa Nabi Isa.
16) Para tentera Rome segera menangkap Judas dan dibawa untuk perbicaraan.
17) Hukuman yang diterima adalah disalib hidup-hidup kemudian diberi mahkota kawad berduri di kepala.
18) Nabi Isa ketika ini masih hidup, hanya Allah sahaja yang tahu dimana Nabi Isa ditempatkan. Keterangan hadis Nabi Muhammad ada meriwayatkan kisah ini. Ia turut diceritakan dalam The Second Coming (versi Kristian).
19) Perkara pertama yang dilakukan ketika turun dari langit adalah menunaikan solat yang diimamkan oleh Imam Mahadi.
20) Nabi Isa mempunyai misi besarnya untuk menyelamatkan manusia daripada fitnah Dajjal serta kaum Yakjuj & Makjuj.


1) Baginda diputerakan di Makkah pada Isnin, 12 Rabiuawal (20 April 571M) pada Tahun Gajah (kerana berlakunya serangan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah dr Habsyah terhadap Kota Makkah).
2) Ibu baginda bernama Aminah manakala ayah baginda bernama Abdullah.
3) Keturunan baginda berasal dari susur galur dari Nabi Ismail kira-kira dalam keturunan yang ke-40.
4) Ayah baginda meninggal dunia sebelum kelahiran baginda manakala ibu baginda meninggal dunia ketika baginda berusia enam tahun.
5) Ibu angkat atau ibu susuan baginda bernama Halimatus Sa'adiah @ Halimah binti Abu Dhuayb Abdullah. Beliau bersama suami, Al Harith berasal daripada Kabilah Arab Sa'd.
6) Tradisi Arab ketika itu adalah menghantar bayi yang baru lahir untuk disusukan di persekitaran padang pasir berbanding di Kota Mekah. Malangnya, kebanyakan ibu susuan Badwi lebih gemark akan bayi yang masih berbapa. Begitu juga Halimah, namun disebabkan gagal mendapatkan bayi lain, Halimah mengambil juga Nabi Muhammad SAW, lapan hari selepas baginda diputerakan. Beliau menyusukan baginda sehingga usia baginda 2 tahun lebih.
7) Setelah ibu baginda meninggal dunia, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Mutalib kemudian oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
8)Abu Talib seorang yang boleh dikatakan berkemampuan. Dari sini baginda belajar untuk mengembala kambing-kambing Abu Talib dan kerap menemani bapa saudaranya berniaga di Syam (Syria). Ketika ini, kerasulan Nabi Muhammad SAW telah diramal oleh pendeta Nasrani bernama Buhaira ketika rombongan perniagaan singgah di Basrah. Buhaira meminta Abu Talib membawa baginda pulang kerana khuatir akan dibunuh oleh kaum Yahudi.
9) Nabi Muhammad SAW sejak kecil tidak pernah terlibat dalam kehidupan sosial Arab Jahiliyyah. Ibaratnya, baginda tidak terlibat dengan pergaulan bebas dan sebarang perkara yang tidak berfaedah. Namun bukanlah bermakna tidak mempunyai kawan langsung. Jika tiba waktu riadah, baginda masih lagi beriadah bersama rakan-rakan yang lain.
10) Sewaktu remaja, baginda percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah SWT. Baginda sangat merendah diri dan menyayangi orang miskin.
11) Pada usia 25 tahun, baginda berkhidmat bersama Khadijah dalam menjalankan perniagaan atas nasihat pakciknya, Abu Talib. Sifat amanah yang dimiliki oleh baginda terutama ketika Khadijah menyerahkan wang modal perniagaan yang besar kepada baginda dan diuruskan dengan sempurna. Ini menyebabkan Khadijah tertarik dengan baginda dan melamar baginda untuk dijadikan suami.
12) Setelah berkahwin, baginda dikurniakan 6 orang anak (2 lelaki, 4 perempuan). Anak-anak lelaki baginda Qasim dan Abdullah telah meninggal dunia semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum & Fatimah AzZahra. Saidatina Khadijah adalah satu-satunya isteri baginda sehinggalah saidatina Khadijah meninggal dunia pada umur 64 tahun.
13) Baginda turut digelar Al Amin. Pada usia 35 tahun, kewibawaan baginda terserlah apabila baginda berjaya menyelesaikan masalah perletakan semula Hajar al-Aswad ke tempat asalnya di penjuru Timur Kaabah yang jatuh ketika banjir.
14) Baginda sedih dengan perkembangan Arab Jahiliyah. Semakin teruk dan menyedihkan sehingga baginda kerap kali ke Gua Hira yang kemudian dikenali sebagai Jabal an Nur untuk memikirkan cara bagi mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya.


Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail :https://www.facebook.com/sharifahsyazreen.alidrus
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1638369332965817&id=694844753984951

  Edit

Comments

Popular posts from this blog

Surah Amalan : al-Ghafir ayat 44

Doa untuk membebaskan diri dari Neraka